37 maut dalam serangan Boko Haram di Cameroon


ANGKA korban akibat serangan kumpulan pengganas Boko Haram di Darak, sebuah pekan di wilayah Utara Jauh di Cameroon yang bersempadan dengan Tasik Chad, meningkat kepada 37 orang, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan sumber tentera pada Selasa.

“Kami tahu bahawa 21 anggota tentera dan 16 orang awam terbunuh dalam serangan itu. Kami telah menahan sejumlah 15 militan Boko Haram dan meneutralkan beberapa orang. Kami masih mencari beberapa anggota tentera dan orang awam yang hilang,” kata seorang pegawai tentera yang enggan dikenali kepada Xinhua.

Menurut pihak berkuasa tempatan, Boko Haram menyerang pekan itu pada Ahad malam dan bertempur dengan tentera Cameroon yang berlanjutan sehingga petang Isnin.

“Mereka melepaskan tembakan secara rambang dan menyebabkan orang awam terbunuh. Beberapa mangsa yang terkena tembakan terjatuh ke dalam Tasik Chad dan mayat mereka dikeluarkan selepas itu,” menurut pegawai itu. – Bernama, 12 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen