Beberapa mayat Orang Asli Bateq hilang


Noel Achariam Ravin Palanisamy

Mengikut adat OranG asli suku Bateq, mayat akan diletak di atas pelantar kayu setinggi satu meter di dalam hutan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 12 Jun, 2019.

BEBERAPA mayat Orang Asli suku Bateq yang meninggal dunia akibat penyakit misteri didapati hilang, berkemungkinan dilarikan haiwan liar.

Perkara ini dimaklumkan oleh seorang Tok Batin komuniti itu di Kg Kuala Koh di Gua Musang, Kelantan sebaik sahaja pihak berkuasa mula masuk ke dalam hutan untuk mencari lokasi mayat untuk dibedah siasat.

Sehingga kini, 14 orang dilaporkan meninggal dunia akibat penyakit misteri yang melanda komuniti itu. Pihak berkuasa menjalankan bedah siasat ke atas dua mangsa yang meninggal dunia di hospital. Manakala 12 mangsa lagi dipercayai meninggal dunia di kampung mereka dan dikebumikan secara adat di dalam hutan.

To Batin Orang Asli suku Bateq, Dolah Pin memberitahu The Malaysian Insight memang sudah menjadi adat mereka mengebumikan ahli keluarga di dalam hutan.

“Mengikut adat kami, mayat dibaringkan di atas pelantar kayu di dalam hutan,” kata Dolah, 36.

“Kami percaya dengan cara ini, roh akan bertemu nenek moyang mereka.

“Mereka berasal dari hutan, jadi mereka pulang semula ke tempat asal.”

Mayat akan dibalut dengan kain dengan bahagian muka didedah dan diletak di atas pelantar kayu setinggi satu meter di dalam hutan.

Menurut Dolah, bukan perkara pelik jika mayat-mayat tersebut hilang kerana terdapat banyak haiwan liar di dalam hutan.

“Bagi kami, ini bukan soal mayat, sebab roh dah tinggalkan jasad.

“Dalam hutan ini ada banyak binatang liar macam harimau, beruang, malah biawak sepanjang 5 kaki yang boleh bawa lari mayat.”

Masyarakat Orang Asli suku Bateq menunggu giliran untuk pemeriksaa kesihatan. Sehingga kini, 14 orang dilaporkan meninggal dunia akibat penyakit misteri yang melanda komuniti itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 12 Jun, 2019.

Kampung Orang Asli suku Bateq ini terletak di pinggir Taman Negara Kelantan di Kuala Koh.

The Malaysian Insight mengambil masa selama 40 minit untuk sampai ke kawasan di mana mangsa berusia 15 tahun ditanam, iaitu kira-kira 10 meter dari denai di puncak bukit.

Tiada mayat di atas pelantar kayu di situ, hanya serpihan tulang yang tinggal.

“Bila badan terurai, binatang liar akan datang. Sebab itulah dalam masa beberapa hari, mayat dah hilang.”

Di sebuah kawasan lain, terdapat dua lagi kubur Orang Asli suku Bateq.

Semalam, Ketua Polis Kelantan Hasanuddin Hassan berkata polis memerlukan sedikit masa untuk mengesan 12 kubur Orang Asli suku Bateq yang dikatakan meninggal dunia akibat radang paru-paru bulan lepas.

Dolah juga berkata mereka tidak pasti di manakah lokasi kubur-kubur itu kerana setiap mangsa di tanam oleh keluarga masing-masing.

“Kami tak tahu dekat mana mayat ditanam. Ada yang naik bot ke seberang sungai, tanam jauh di dalam hutan.

“Jadi, kami tak tahu dekat mana mayat ditanam” tambahnya. – 12 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen