ORANG Asli daripada suku Bateq di Gua Musang mendesak jawapan dari kerajaan negeri Kelantan terhadap apa yang berlaku pada keluarga mereka.
Mereka mempersoalkan kenapa pihak berkuasa hanya membisu selepas 14 kematian berlaku di kampung mereka sepanjang bulan lalu.
Tok Batin Muhamad Pokok berkata pihak berkuasa perlu mengenal pasti punca kejadian itu yang menyebabkan penduduk kampung meninggal dunia, kerana mereka yang tinggal di situ terpaksa hidup dalam kebimbangan dan ketakutan.
“Sudah hampir 15 tahun sejak saya pindah tinggal di kawasan Kuala Kroh dan kami tidak pernah lihat sebanyak ini kematian dalam tempoh singkat.
“Ini kali pertama kami berdepan dengan tragedi seperti ini. Kami berharap pihak berkuasa berkenaan akan beritahu puncanya kepada kami secepat mungkin,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad semalam menolak keracunan kimia sebagai punca kematian penduduk suku Bateq itu.
Katanya, simptom yang dialami menunjukkan ia jangkitan pernafasan, iaitu pnemonia akut dan bukan kimia, berdasarkan kepada ujian X-ray dada.
Dzulkefly berkata kementerian sedang menunggu keputusan ujian untuk mengesahkan sumber insiden itu.
“Untuk menentukan punca sebenar, kita menunggu ujian serologi dan PCR yang dijalankan oleh hospital,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi town-hall dengan doktor di Kuala Lumpur.
Muhamad berkata selepas insiden itu tidak ada sesiapa dari kerajaan negeri datang meminta mereka berpindah ke tempat lebih selamat.
“Penduduk masih tinggal di sini di bawah khemah terbuka.
“Tidak ada sesiapa datang pada kami dan menawarkan tempat perlindungan sementara.”
Suku Bateq dan keluarga mereka berpindah dari pondok kayu mereka dan memasang khemah kira-kira sejauh 2km.

Nasib masyarakat Orang Asli itu mendapat perhatian selepas dua daripadanya disyaki meninggal dunia akibat pneumonia awal bulan ini.
Semalam dilaporkan empat lagi penduduk dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Kuala Krai kerana mengalami kesukaran bernafas.
Muhammad berkata insiden itu menyebabkan risiko tinggi pada populasi mereka, mendakwa lebih separuh daripada mereka masih mendapatkan rawatan perubatan.
“Kami masih tidak tahu apa yang berlaku pada mereka. Sama ada mereka minum air tercemar atau ia wabak. Kami tidak tahu.”
Terdahulu semalam, Jabatan Kesihatan daerah datang untuk melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap Orang Asli Bateq.
Difahamkan tiada kes baharu direkodkan yang memerlukan perhatian perubatan serta merta.
Turut hadir di kampung itu ialah unit Hazmat, yang turut mengambil sampel air dan tanah di kampung berkenaan.
Unit itu turut mengumpulkan sampel dari kawasan perlombongan, di mana ada yang mendakwa ia menjadi punca kepada masalah kesihatan penduduk.
Petang semalam, pegawai dari Pejabat Tanah dan Galian Kelantan melawat ke kawasan perlombongan untuk memeriksa jika air di situ tercemar dan kemudian mengalir ke Kampung Kuala Koh.
Pada Isnin, Dzulkefly berkata kerajaan mengasingkan Kampung Kuala Koh dan hanya pegawai dengan peralatan perlindungan lengkap dibenarkan masuk ke kawasan itu.
Bagaimanapun, tinjauan The Malaysian Insight semalam mendapati kawasan itu masih boleh diakses. – 12 Jun, 2019.
Komen