BENARKAH persatuan dan kelab bola sepak di Malaysia sebenarnya ditadbir secara senyap seperti organisasi ‘mafia kecil’ yang merompak wang penajaan?
Benarkah, peluang meraih keuntungan peribadi dalam urus niaga penajaan antara tarikan utama perebutan jawatan tinggi dalam persatuan bola sepak?
Benarkah, kartel mafia ada dalam persatuan sukan dan menjadikannya sebagai lubuk duit?
Sebelum artikel ini jauh melata, dengar dulu kisah bekas pemain profesional yang ditipu gajinya oleh dua kelab bola sepak tempatan.
Era glamor Safee Sali sudah berlalu
Berbual mengenai kerjaya pemain bola sepak sekarang, ia bukan lagi satu fenomena seperti ketika Safee Sali menerima kontrak RM2 juta setahun bersama Pelita Jaya. Itu cerita tujuh tahun lalu.
Penjaring terbanyak Piala AFF Suzuki 2010 itu menjadi bintang sukan tempatan paling trending pada Rabu, 1 Februari 2012 apabila memperbaharui kontrak dua tahun untuk beraksi dalam Liga Indonesia.
Hari ini, kalau ada berita pemain bola sepak tempatan menjadi jutawan, ia pasti dianggap pembohongan paling sensasi alaf ini. Bola sepak tempatan berada pada tahap paling memualkan apabila bercakap soal gaji pemain.
Sejak sedekad lalu, banyak pasukan negeri dan kelab profesional yang dilanda krisis kewangan gagal membayar gaji pemain. Malah, ada kelab yang gulung tikar begitu saja tanpa membayar sesen pun tunggakan gaji pemain.
Ketika pemimpin sukan sedang kuat bergebang mengenai potensi skuad Harimau Malaya beraksi di Piala Dunia secepat mungkin, peminat sudah lama berasa loya. Manakala, pemain pula sudah pasti termuntah di lubang tandas tanpa pengetahuan pengurusan pasukan.
Ratusan pemain bola sepak tempatan dan bintang import berdepan isu tunggakan gaji. Setiap tahun, kisah pemain tidak menerima gaji sama banyak dengan rekod jaringan gol yang dicatatkan.
Malah, ratusan kes juga sudah dalam pengetahuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Malah, ada kes yang sudah diadili sampai ke jawatankuasa Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA).
Kes membabitkan isu kegagalan membayar tunggakan gaji menjadi perosak utama imej bola sepak profesional di negara ini. Setiap tahun, puluhan kes baharu mengenainya dilaporkan. Malah, puluhan kali ganda berbanding purata kes pemain dituduh makan rasuah.
Mimpi 13 tahun berakhir di e-hailing
“Zalim… kami ada anak bini. Kalau setahun tak bergaji nak makan apa?” Rungut anak muda berusia 23 tahun.
Bekas pemain profesional liga tempatan ini meninggalkan kerjaya bola sepak dan menjadi pemandu e-hailing sejak Disember lalu.
Anak muda lulusan sains sukan ini sempat bermain selama empat musim dalam Liga Malaysia. Cuma malang, dua pasukan tempatnya beraksi, memiliki sejarah yang sama. Gagal membayar gaji.
Lebih malang, seperti satu sumpahan, abangnya turut mengalami nasib serupa.
“Abang saya pemain kebangsaan. Tapi, kariernya musnah sebab beraksi dengan pasukan yang dibatalkan FAM kerana isu gagal mengemukan laporan kewangan,” kata anak kelahiran Kelantan ini.
Dia nampak tenang walau seminggu terpaksa menumpang di tidur di bilik rakannya di Kuala Lumpur. Selepas meninggalkan bola sepak profesional, anak muda ini hanya mampu menyewa bilik di Nilai, Negeri Sembilan.
“Dengan pasukan lama, gaji abang saya tertangguh selama lapan bulan. Sekarang selepas setahun bertukar kelab, gaji masih tidak berbayar.
“Kemudian dengan pasukan baharu, datang lagi malang. Persatuan negeri itu yang digantung FAM. Abang saya terpaksa pergi dengan tunggakan lima bulan gaji,” katanya dalam nada penuh putus asa.
Anak muda ini, memilih sepuluh hari terakhir Ramadan untuk memandu e-hailing habis-habisan. Dia memerlukan wang untuk pulang beraya. Dua kelab lamanya, sudah menyatakan, tidak mampu membayar apa-apa tunggakan menjelang Lebaran.
“Malah, bekas presiden kelab lama khabarnya sudah lari entah ke mana. Ada yang kata bersembunyi di Thailand,” jelasnya.
Anak muda yang mula mewakili skuad negeri pada usia 11 tahun ini, memilih meneruskan cerita duka abangnya. Seakan-akan nasib abangnya jauh lebih buruk berbanding kes dirinya.
Menurutnya, tunggakan gaji abangnya dengan dua persatuan negeri itu melebihi RM200 ribu.
“Tunggakan saya hanya dalam RM30 ribu. Saya bujang. Kesian abang nak berhari raya dengan isteri dan anak-anak, tapi wang tak ada…,” jelasnya.
Malah, katanya, dia yakin dengan status persatuan yang hampir terbubar, serta satu lagi persatuan negeri yang hampir bangkrap, abangnya pasti tidak akan menerima sesen pun bayaran dari kedua-kedua bekas majikan.
“Bayangkan lebih tunggakan RM200 ribu hasil gaji lapan bulan di negeri pertama dan lima bulan di negeri kedua, semua wang itu akan hangus begitu saja,” katanya.
Cuma nasib abangnya baik sedikit. Selepas FAM membatalkan penyertaan kelab lama, bekas pemain kebangsaan itu menyertai kelab kecil di liga bawahan.
“Saya fikir ansuran kereta dan rumah pasti sangkut. Tapi anak dan isteri abang saya masih boleh makan,” katanya.
Tidak perlu disebut nama dua beradik malang ini. Hari ini ratusan kisah pemain bola sepak profesional hidup melarat kerana tidak dibayar gaji bukan lagi berita utama.
Walaupun pemain kebuluran ketika beraksi di atas padang – nilai beritanya tidak semeriah mencetak berita pemimpin sukan bergebang soal Harimau Malaya ke Piala Dunia.
Lubuk duit
“Ramai yang kejar jawatan dalam kepimpinan sukan sebab ada habuan. Kami tahu semua muslihat ini. Ada masa kami anggap persatuan sukan macam lubuk ‘money laundry’. Banyak peluang pemimpin sukan sapu duit,” kata bekas pemain profesional ini.
Sepanjang perjalanan e-hailing dari Cheras ke Kampung Baru, saya anggap isu pemain tidak bayar gaji, ulangan isu lama. Cuma, satu kejutan apabila ada tanggapan: persatuan bola sepak tempat jenayah kewangan. Ini satu tuduhan ngeri!
Memang sukar dibuktikan. Dalam bola sepak tempatan, jenayah sukan sebelum ini hanyalah isu pemain menerima sogokan. Sejarah rasuah yang terbongkar secara besar-besaran sejak 1994.
Semua jenayah ini membabitkan pemain. Belum pernah ada kes, jenayah kewangan dikaitkan dengan persatuan bola sepak.
“Mereka boleh buat duit. Itu pandai mereka dalam urusan penajaan. Tapi, duit jangan masuk poket pengurusan sampai gaji pemain pun tak dibayar,” luah anak muda ini.
Pada usia 23 tahun, selepas dua kali menghadapi penipuan gaji oleh dua kelab bola sepak berbeza, anak muda ini nekad menukar haluan. Sekelip mata, impian menjadi pemain profesional sejak berusia 11 tahun terpadam.
Anak muda ini memilih jalan keluar pada usia muda. Empat tahun ditipu dan melihat abangnya terus teraniaya, mendorong dirinya nekad menukar kerjaya.
Dari jersi dengan nombor pilihan dan cetakan nama di belakangnya, anak muda ini bersifat realisitik. Penampilan imej dan data sebagai pemandu di aplikasi e-hailing lebih menjanjikan rezeki berbanding lima bulan berlari di padang tanpa gaji.
Agak dahsyat. Pemimpin sukan sedang kuat bergebang soal Malaysia beraksi di Piala Dunia dalam masa terdekat. Realitinya, ratusan pemain profesional liga tempatan masih bergelut dengan isu tidak dibayar gaji. Malah, ditipu bulat-bulat begitu saja.
Ini karma bagi negara yang pemimpin sukannya suka sembang kencang. Kalau bergebang, gegarnya sampai ke Kalimanjaro. Realitinya pula, pemain di negara sendiri, nyaris-nyaris makan lalang.
Mafia dan kartel ‘money laundry’ adalah rahsia terbuka bola sepak di negara ini. Cuma, membuktikannya perlukan siasatan yang teliti. Ironinya, di mata pemain profesional, sudah ada tanggapan: pemimpin persatuan ada yang jenis lanun dan kartel mafia.
Benar atau tidak, siasatlah. Tapi Harimau Malaya tidak akan ke Piala Dunia, dengan semangat pemain yang berasa dianiaya. Apa lagi mengesyaki persatuan bola sepak dan kelab profesional sedang menjadi lubuk ‘money laundry’. – 12 Jun, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen