TRAGEDI yang menjejaskan suku Orang Asli baru-baru ini akan memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia sebagaimana yang dapat dalam bencana alam di seluruh negara sejak beberapa tahun lalu, kata kumpulan alam sekitar.
Ini kerana kumpulan masyarakat asal itu tinggal di hutan yang merupakan ekosistem penting dalam menyediakan bekalan air bersih dan tebatan banjir kepada perkampungan, pekan dan bandar.
Kemusnahan hutan ini di Sarawak, Sabah, Kelantan dan Kedah kerana aktiviti pembalakan dan perlombongan membawa kepada bencana banjir dan kekurangan bekalan air di wilayah ini dan sekitarnya.
Kes terbaharu “kematian misteri” dalam kalangan masyarakat suku Batek di Gua Musang, Kelantan merupakan satu lagi contoh kedinamikan ini yang sedang berlaku, kata Presiden Peka, Sharifah Sabrina Syed Akil.
Kumpulan alam sekitar seperti Peka dan Kuasa mendakwa sampel yang diambil daripada sungai yang menjadi sumber air mereka menunjukkan ianya tercemar dengan arsenik dan sianida.
Memandangkan sungai berkenaan juga merupakan sumber air mentah kepada Kelantan, penduduk yang lain juga akan terjejas, kata Sharifah Sabrina.
“Apa yang berlaku ke atas Orang Asli itu hanya permulaan. Bencana akan menimpa mereka dahulu, kemudian ia akan berlaku kepada kita semua,” kata Sharifah Sabrina.
Ini sebabnya mengapa rakyat Malaysia dan kerajaan persekutuan perlu mengubah sikap mereka terhadap masalah masyarakat Orang Asli kerana mereka ini lebih berkait kepada seluruh negara, kata Presiden Kuasa Hafizuddin Narazuddin.
Persepsi yang popular adalah Orang Asli masih “terbelakang”, yang mana mereka masih bergantung kepada gaya hidup dalam hutan mereka yang jauh daripada perkembangan pesat abad ke 21.

Kerajaan negeri dan masyarakat peniaga melihat mereka sebagai halangan untuk industri yang memberi keuntungan seperti pembalakan, perladangan dan perlombongan kerana masyarakat Orang Asli ini menduduki tanah yang dijalankan aktiviti berkenaan, kata Hafizuddin.
Masalahnya ialah mereka menurunkan nilai hutan dan tugas mereka adalah memastikan ekosistem ini sihat, katanya.
Memandangkan Orang Asli bergantung kepada hutan untuk mendapatkan bekalan air, ubat-ubatan, tempat tinggal dan ritual keagamaan, kesihatan mereka menjadi petanda hutan yang baik.
Dan keadaan hutan yang baik mampu menyediakan sumber air bersih, tebatan banjir ketika musim hujan dan memerangkap gas rumah hijau yang menjadi punca perubahan cuaca, kata Hafizuddin.
“Kami menyokong untuk membiarkan Orang Asli hidup dengan cara lama mereka kerana mereka adalah penjaga hutan. Dalam menjaga hutan, mereka turut menjaga kepentingan kita semua yang tinggal di bandar,” katanya.
Pendapatan sedikit, kos yang besar
Kematian 14 orang suku Batek di Gua Musang berlaku beberapa minggu selepas masyarakat lain di Perak menjadi perhatian kerana mengadakan sekatan di hutan Gerik.
Kira-kira pada waktu yang sama tahun lalu, suku Temuan di Gua Musang juga menjadi perhatian kerana cuba menghalang pembalak dan peladang daripada memasuki dan memusnahkan hutan yang menjadi tempat mereka berburu.
Dalam ketiga-tiga kes ini, Orang Asli cuba melindungi pemusnahan hutan di negeri terlibat.
Pada musim tengkujuh tahun 2014-2015, banjir besar melanda Kelantan memusnahkan 2,660 kediaman dan 151,000 penduduk terpaksa dipindahkan. Kerugian dianggarkan mencecah RM1 bilion dalam bencana itu.
Saksi menceritakan bagaimana sungai yang luas bertukar cetek kerana hakisan, dipenuhi kayu balak dari lokasi pembalakan di Gua Musang.
Menurut Centre for Orang Asli Concerns (COAC), kemusnahan alam sekitar menjadi punca berlakunya banjir besar di Kelantan yang mencerminkan apa yang berlaku di Sarawak sedekad sebelum itu.

Di wilayah Malaysia Timur itu, pertikaian antara kerajaan tempatan dan syarikat pembalakan dan perladangan menyebabkan Sarawak hilang sebahagian besar daripada kawasan hutannya dan mengusir suku pribumi dari tanah adat mereka, kata penyelaras COAC Colin Nicholas.
“Jadi hari ini, kesesakan balak yang kerap berlaku di sungai Sarawak dan banjir menjadi bencana tahunan di pekan dan bandar di sepanjang sungai,” kata Nicholas.
Sarawak, Sabah, Kelantan dan Pahang berada pada tangga teratas kemusnahan hutan yang disebabkan oleh pembalakan, perladangan dan perlombongan dan di negeri-negeri ini mempunyai paling ramai masyarakat Orang Asli yang tertekan, katanya.
“Tapi walaupun mereka bercakap mengenai kekayaan yang dibawa oleh pembalakan dan perlombongan di negeri ini, ia juga memiliki jumlah orang miskin paling ramai,” kata Nicholas.
Menurut kajian Institut Penyelidikan Khazanah pada 2018, Kelantan mempunayi peratusan pendaoatan sii rumah bawah RM2,000 sebulan paling tinggi, diikuti Kedah, Sabah dan Sarawak.
Nicholas berkata pembalakan merupakan sumber tidak efisien bagi pendapatan kerajaan negeri kerana kebocoran dalam rantaian bekalan.
“Pada tahun 2016, kerajaan Kelantan mendakwa ia memperoleh pendapatan hasil pembalakan sebanyak RM187 juta setahun. Tetapi apabila sekatan Orang Asli terhadap pembalak berlaku, peniaga mendakwa kerugian RM50 juta dalam masa dua minggu.
“Ini menunjukkan kerajaan negeri tidak mendapat banyak pendapatan dari pembalakan. Malah rakyat peerlu menanggung akibat daripada kemusnahan yang berlaku akibat banjir,” kata Nicholas.– 12 Jun, 2019.
Komen