Alabama lulus undang-undang kasi pesalah seks secara kimia


NEGERI Alabama di Amerika Syarikat (AS) kini mencari pesalah seks yang disabitkan kesalahan itu membabitkan kanak-kanak di bawah usia 13 tahun untuk memulakan hukuman pengasian kimia sebelum mereka menjalani parol dari penjara, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Selepas rang undang-undang itu diluluskan pada lewat Isnin, Gabenor Republikan Kay Ivey menyifatkannya sebagai “satu langkah ke arah melindungi kanak-kanak di Alabama.”

Di bawah kaedah itu, pesalah akan menerima ubat yang menghalang mereka daripada mengeluarkan testosteron sebulan sebelum mereka dibebaskan dari penjara.

Pengasian itu menghalang minat seksual dan melakukan tindakan seksual serta menjadikan tindakan seksual sesuatu yang mustahil dilakukan.

Pesalah perlu membayar kos ubat terbabit, yang kesannya boleh diterbalik jika seseorang itu berhenti mengambilnya.

Kegagalan mengambil ubat itu akan dianggap sebagai melanggar parol, yang menyebabkan pesalah dihantar semula ke penjara.

Beberapa negeri di AS seperti California dan Florida memiliki undang-undang yang serupa. – Bernama, 11 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen