SEORANG budak lelaki berusia 2 tahun yang lebih empat hari terperangkap dalam sebuah perigi sempit di India, ditemui mati ketika dikeluarkan hari ini.
Kelewatan usaha menyelamatkan kanak-kanak itu mencetuskan bantahan orang ramai.
Kes Fatehveer Singh mendapat perhatian selepas dia terjatuh ke dalam perigi sedalam 33 meter di Punjab, Sangrur ketika sedang bermain pada Khamis lalu.
Perigi lama itu hanya berkeluasan 23cm, menjadikan usaha untuk membawa keluar kanak-kanak itu sukar. Usaha menyelematkan Fatehveer melibatkan berpuluh anggota penyelamat dan sukarelawan serta disiarkan di televisyen.
“Kanak-kanak itu sudah meninggal dunia. Dia ditarik keluar pada pukul 5 pagi oleh anggota Pasukan Bantuan Bencana Kebangsaan (NDRF),” kata seorang ahli Parlimen, Vijay Inder Singla.
Kanak-kanak malang itu hanya mendapat bantuan oksigen, tanpa makanan dan air. Dia diterbangkan ke sebuah hospital di Chandigarh, di mana dia kemudiannya disahkan sudah meninggal dunia.
Pihak berkuasa terpaksa menggali lubang yang sama kedalamannya dengan perigi itu dan memasukkan sebatang paip selebar 90cm untuk mengeluarkan Fatehveer.
Penduduk kampung yang berkumpul di lokasi kejadian berang kerana kanak-kanak itu lewat diselamatkan.
Seorang penduduk berkata usaha menyelamat lambat disebabkan kekurangan bantuan teknikal.
Perigi berkenaan digali oleh keluarga kanak-kanak itu pada 1984. Ia dahulu digunakan untuk mengairi ladang dan tidak digunakan lagi sejak 1991.
Menteri Punjab, Amarinder Singh mengarahkan supaya perigi terbuka di seluruh negeri dimusnahkan. – AFP, 11 Jun, 2019.
Komen