Raja Thailand umum pelantikan Prayut Chan-o-cha sebagai PM


Prayut Chan-o-cha menyembah potret Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn di Rumah Kerajaan di Bangkok. – Gambar EPA, 11 Jun, 2019.

RAJA Maha Vajiralongkorn secara rasmi telah melantik Prayut Chan-o-cha sebagai perdana menteri Thailand, lapor agensi berita China Xinhua.

Warta Diraja pada Selasa mengumumkan pelantikan Prayut sebagai perdana menteri selepas beliau diundi bagi mengisi jawatan tertinggi kerajaan itu dalam satu mesyuarat bersama dewan perwakilan dan senat minggu lepas.

Sejumlah 500 ahli parlimen dan senator mengundi Prayut sebagai perdana menteri berbanding 244 undi yang diperoleh pemimpin Parti Future Forward Thanathorn Juangroongruangkit.

Prayut mengekalkan kuasanya dengan sokongan padu daripada 19 parti sekutu yang diketuai Parti Palang Pracharath susulan pilihan raya umum Thailand pada 24 Mac.

Beliau belum membentuk Kabinet dengan maksimum 36 menteri, termasuk dirinya sendiri.

Selepas pelantikan diraja itu diumumkan, Prayut mengeluarkan satu kenyataan untuk memberi jaminan bahawa beliau akan mendengar suara rakyat semasa menjalankan tugasnya dalam membasmi rasuah, mengurangkan ketaksamaan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, terutama mereka dalam sektor pertanian dan komersial.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada monarki Thailand kerana melantiknya sebagai perdana menteri dan semua senator serta ahli Parlimen kerana memberi beliau peluang untuk terus berkhidmat kepada negara dan rakyat serta membawa pembangunan sejahtera dan lestari dalam semua aspek. – Bernama, 11 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen