Premis perniagaan masih ditutup selepas 3 hari tunjuk perasaan di Sudan 


Kempen penentangan sivil di Khartoum menyebabkan premis perniagaan ditutup dan jalan raya di seluruh bandar berkenaan lengang.– Gambar EPA, 11 Jun, 2019

KEDAI dan perniagaan masih ditutup dan penduduk masih tidak keluar rumah di ibu negara Sudan susulan kempen penentangan sivil di seluruh negara itu yang menyasarkan untuk memberi tekanan kepada pemerintah tentera yang memasuki hari ketiga.

Tunjuk perasaan itu tercetus pada Ahad selepas ramai yang dilaporkan terbunuh dalam serangan oleh pasukan keselamatan terhadap penunjuk perasaan yang berhimpun di luar ibu pejabat tentera di Khartoum.

Hari kedua tunjuk perasaan itu menyaksikan sekatan terhadap akses internet di seluruh negara itu selama beberapa jam, selepas penyedia utama akses internet Sudatel berhenti beroperasi.

Pada Selasa, bas pengangkutan awam membawa penumpang di beberapa bahagian ibu negara itu, namun di Khartoum, perniagaan utama dan pusat komersil masih ditutup pada pagi, lapor koresponden AFP.

Kenderaan yang sarat dengan senjata api, yang digunakan pasukan tentera untuk memburu penunjuk perasaan, juga dilihat melakukan rondaan di bandar itu.

Orang ramai juga dilihat berkurangan di jalanan berbanding hari biasa.

“Sejak tiga hari lalu, kami mengalami kerugian besar,” kata pekerja syarikat pelancongan, Ibrahim Omar.

Agensi pelancongan turut terjejas teruk susulan ketiadaan akses internet pada Isnin.

“Kami tidak boleh buat apa-apa. Kami tidak dapat membuat tempahan antarabangsa. Saya harap keadaan ini tidak akan berlarutan.”

Namun penunjuk perasaan yang menjalankan kempen penentangan sivil itu berkata, setakat ini kempen mereka berjalan lancar.

“Ini jelas menunjukkan apa yang kami mampu lakukan, dalam cara yang aman,” kata seorang penunjuk perasaan Ishraga Mohamed.

“Kempen ini tidak membawa kepada pembunuhan dan dalam masa yang sama ia memberi tekanan kepada majlis tentera. Kami akan teruskan sehingga matlamat kami tercapai,” katanya kepada AFP.

Kempen penentangan itu diadakan selepas pihak tentera Sudan menjalankan operasi besar-besaran memburu penunjuk perasaan sejak 3 Jun lalu.

Sejak itu, menurut doktor yang mempunyai kaitan dengan kempen berkenaan, pergolakan yang melanda ibu negara berkenaan menyebabkan 118 orang terbunuh.

Menurut kementerian kesihatan Sudan, 61 orang terbunuh di seluruh negara, termasuk 49 orang yang ditembak menggunakan peluru hidup di Khartoum. – AFP, 11 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen