6 terbunuh dalam letupan bom di Afghanistan 


Letupan bom dan periuk api sering menyebabkan orang awam terutamanya kanak-kanak menjadi mangsa di Afghanistan. – Gambar EPA, 11 Jun, 2019

SEKURANG-kurangnya enam orang terbunuh pada Selasa selepas bom yang diletakkan di tepi jalan meletup dan mengenai kenderaan mereka dalam kejadian di selatan Afghanistan.

Letupan berkenaan merupakan serangan terbaharu melibatkan orang awam di negara bergolak itu.

Kenderaan berkenaan dalam perjalanan dari daerah Dand di Kandahar apabila bom berkenaan meledak berhampiran kenderaan yang dinaiki mereka sekaligus menyebabkan kesemua mereka terbunuh, kata jurucakap polis Qasim Afghan.

“Mereka yang terbunuh dalam kejadian itu termasuk dua kanak-kanak perempuan dan dua kanak-kanak lelaki. Kesemua mereka merupakan ahli keluarga,” katanya kepada AFP.

Sementara itu, gabenor daerah Dand, Haji Abdulah berkata, bom berkenaan dipercayai diletakkan oleh kumpulan Taliban di jalan yang sering digunakan warga asing dan pasukan keselamatan Afghanistan.

Setakat ini masih belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab dan Taliban tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden itu.

Kumpulan militan berkenaan sering menggunakan bom dan periuk api yang dipasang di jalan raya untuk menyasarkan pasukan keselamatan Afghanistan.

Namun bahan letupan berkenaan sering menyebabkan orang awam menjadi mangsa.

Konflik berterusan di negara itu menyebabkan ia dipenuhi dengan periuk api, bom mortar yang tidak meletup, roket dan bom buatan sendiri—kebanyakannya dikutip oleh kanak-kanak yang tidak tahu ia adalah bahan letupan.

Bulan lalu, letupan periuk api menyebabkan tujuh kanak-kanak terbunuh manakala dua lagi cedera dalam kejadian di Ghazni. – AFP, 11 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen