PIHAK berkuasa India mengerahkan ratusan polis dan menggantung perkhidmatan Internet di utara negara tu di mana pembunuhan kejam seorang kanak-kanak perempuan dua tahun berlaku dan mencetuskan ketegangan antara agama.
Kanak-kanak Hindu itu dibunuh susulan hutang tidak dibayar sebanyak AS$144. Badannya dicacatkan dengan teruk dan ditemui di tempat pembuangan sampah pada Ahad, di daerah Aligarh di Uttar Pradesh.
Polis berkata kanak-kanak itu dihempas, dicekik dan matanya dikorek keluar.
Kawasan Tappal di mana mangsa menetap, pada masa ini dalam keadaan tegang susulan lelaki yang dituduh membunuhnya, beragama Islam, masyarakat minoriti di situ.
Hindu majoriti di India, yang secara rasminya negara sekular.
Kumpulan Hindu berhaluan kanan mengetuai beberapa protes di Tappal, mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan serta-merta terhadap pelaku.
Pemimpin terkemuka Vishwa Hindu Parishad dihalang polis daripada melawat keluarga kanak-kanak itu semalam, dan pada Ahad, ahli kumpulan radikal lain turut berhimpun, mendesak hukuman mati terhadap tertuduh.
Kumpulan itu juga cuba menganjurkan “himpunan mega” tetapi polis menggagalkan cubaan itu.
“Kami menggunakan Seksyen 144 (melarang perhimpunan haram) dan Internet digantung di Tappal,” kata majistret daerah Chandra Bhushan Singh.
Polis juga menahan mereka yang berkongsi post media sosial palsu yang menambah lagi ketegangan perbezaan agama.
Walaupun polis melaporkan mangsa dipercayai tidak diserang secara seksual, post media sosial yang tidak disahkan mendakwa sebaliknya.
Hampir 20,000 kes rogol kanak-kanak dilaporkan pada 2016, menurut data rasmi, sementara laporan PBB 2014 berkata satu daripada tiga mangsa rogol adalah di bawah umur. – AFP, 11 Jun, 2019.
Komen