KHALID Samad mempertahankan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) serta peranan beliau sebagai pengerusinya dan menyatakan pelantikan pengerusi yayasan berkenaan tidak memerlukan mandat persekutuan.
Beliau yang juga menteri wilayah persekutuan berkata, pelantikannya sebagai pengerusi YWP adalah berdasarkan memorandum dan artikel dalam yayasan berkenaan.
“Artikel 22 menyatakan dengan jelas pengerusi lembaga mesti daripada menteri wilayah persekutuan,” katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau juga berkata, tiada elemen politik dalam pelantikan ahli lembaga pengarah amanah YWP.
“Tiada kepentingan peribadi dalam YWP kerana mereka bukan saja harus mencari dana demi kebajikan rakyat yang memerlukan dan tidak boleh menerima sebarang keuntungan peribadi dalam tanggungjawab mereka,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai penubuhan YWP yang sebelum ini menerima kritikan, beliau berkata amat penting mengekalkan yayasan tersebut.
Katanya, yayasan berkenaan merupakan antara salah satu platform atau media dalam menyalurkan bantuan dan menjaga kebajikan warga Wilayah Persekutuan.
“Berbanding negeri lain, mereka ada banyak platform untuk bantu penduduk mereka tetapi Wilayah ini tidak banyak,” katanya.
Beliau juga tidak menolak berlaku salah guna dalam yayasan.
Namun menteri itu berjanji dibawah pentadbiran kerajaan baharu pengurusanbadan kebajikan tersebut akan lebih telus.
“Yayasan bukan nak capai kepentingan politik atau kepentingan peribadi mana-mana pihak.
“Kita jalankan seperti apa yang sepatutnya, kita telus dan terbuka,” katanya.
Beliau berkata jika berlaku konflik kepentingan ia boleh diatasi dengan membuat pengakuan dan tidak membuat keputusan.
“Kalau ikut prosedur operasi standard jika konflik kepentingan kena buat pengikraran dalam mesyuarat dan tidak terlibat dalam buat keputusan,” katanya.
Kumpulan masyarakat sivil sebelum ini mengkritik Khalid kerana melantik ahli politik Pakatan Harapan dalam lembaga pengarah YWP, dan mempersoalkan keperluan untuk mengikut jejak langkah pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.
Khalid melantik ahli lembaga pengarah baharu YWP pada Februari.
Antara yang dilantik adalah Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Dahlan, dan beberapa pegawai kanan kerajaan dari kementerian dan agensi kerajaan serta pemimpin akar umbi parti komponen PH.
Anggota parti itu adalah ketua bahagian Bersatu Seputeh Mohamad Riadz Mohamad Hashim, penyelaras PKR Sembrong Onn Abu Bakar, Naib Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi dan peguam DAP dan bekas naib presiden cawangan USJ Taipan, Muhammad Khairil Khalid. – 11 Jun, 2019
Komen