PODIUM di Olimpik Tokyo 2020 akan diperbuat daripada sisa plastik disumbangkan oleh penduduk tempatan atau dikutip dari laut, kata penganjur.
Ini akan menjadi podium pertama dibuat daripada bahan kitar semula dan penganjur berkata mereka memerlukan kira-kira 45 tan plastik untuk menggayakan 100 podium bagi kejohanan itu.
CEO Tokyo 2020 Toshiro Muto berkata rancangan itu akan membantu mengangkat mesej kemapanan dunia di mana penganjur mahu ia menjadi tema utama kejohanan itu tahun depan.
“Dengan menghantar mesej itu kepada Jepun dan seluruh dunia, kami fikir projek ini akan memberikan kesan besar,” katanya kepada wartawan.
Plastik untuk projek itu akan dikumpulkan di lebih 2,000 outlet rangkaian pasar raya tempatan, di mana kotak akan diletakkan untuk penduduk Tokyo meletakkan sisa plastik kitar semula.
Projek itu juga akan menggunakan sisa plastik yang dikumpulkan dari laut ketika pembersihan marin.
Penganjur sangat berminat dalam mempromosikan mesej mesra alam bersama kejohanan itu, termasuk membuat pingat daripada sisa elektronik yang boleh dikitar semula.
Mereka mengumpul sisa itu daripada orang awam selain industri tempatan Jepun, berjaya mendapatkan 2,700 kg gangsa, 30.3 kg emas dan 4,100 kg perak.
Atlet Jepun yang bertanding di Tokyo 2020 juga akan memakai kit rasmi sebahagiannya diperbuat daripada pakaian kitar semula dikutip dari seluruh negara. – AFP, 11 Jun, 2019.
Komen