Pompeo ke Jepun, Korea Selatan akhir Jun,bincang isu senjata nuklear


Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo dijadual melawat Jepun dan Korea Selatan pada akhir Jun bagi membincangkan isu pembasmian senjata nuklear di Semenanjung Korea. – Gambar EPA, 11 Jun, 2019.

SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo dijadual melawat Jepun dan Korea Selatan pada akhir Jun bagi membincangkan isu pembasmian senjata nuklear di Semenanjung Korea, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Jabatan Negara AS pada Isnin.

Pompeo akan menyertai Presiden AS Donald Trump untuk bertemu Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe di luar Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Jun di Osaka, menurut jurucakap Jabatan Negara AS Morgan Ortagus dalam satu taklimat kepada media.

Susulan Sidang Kemuncak G20, Pompeo akan mengiringi Trump untuk melawat Korea Selatan di mana mereka akan bertemu Presiden Moon Jae-in berkaitan isu pembasmian senjata nuklear dan pakatan dua hala, kata Ortagus.

Selepas ke Jepun dan Korea Selatan, diplomat AS itu akan berkunjung ke India dan Sri Lanka sebagai dua hentian pertama beliau dalam rangka lawatan ke Asia yang dijadualkan berlangsung dari 24 hingga 30 Jun.

Rundingan pembasmian senjata nuklear antara Pyongyang dan Washington telah menemui jalan buntu selepas sidang kemuncak kedua antara pemimpin tinggi Korea Utara Kim Jong Un dan Trump berakhir tanpa sebarang persetujuan pada Februari di ibu kota Vietnam, Hanoi. – Bernama, 11 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen