Isu Taman Rimba Kiara sudah hampir selesai, kata Khalid Samad


Diyana Ibrahim

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad menjelaskan isu Taman Rimba Kiara akan dibentangkan untuk keputusan Jemaah Menteri dalam masa sebulan ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 11 Jun, 2019.

ISU Taman Rimba Kiara hanya menunggu keputusan Kabinet dalam masa sebulan ini, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Beliau menjelaskan kenyataan setiausaha akhbarnya yang dipertikaikan oleh Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh hanyalah sebagai menjawab isu yang dibangkitkan oleh penduduk sebelum cuti hari raya minggu lalu.

Kata Khalid, tidak timbul konflik kepentingan pihak beliau dalam isu itu kerana hakikatnya isu berkenaan akan selesai apabila ia diputuskan oleh kabinet nanti.

“Setiausaha akhbar saya cuma jawab kenyataan persatuan penduduk sebelum raya, jadi janganlah marah sebab dia (persatuan) yang keluar dulu kenyataan,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kritikan Yeoh yang mendakwa ada pertindihan konflik kerana Khalid ada juga pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan, badan yang memiliki tanah projek yang jadi pertikaian.

Timbalan menteri itu mempersoalkan apakah pegawai Khalid memberi perhatian sama kepada isu yang melibatkan pemaju lain.

Dalam pada itu, Khalid mengulangi kementeriannnya sudah mencadangkan dua pilihan kepada kabinet.

Katanya, cadangan itu termasuk pengecilan saiz projek pembangunan apabila pemaju bersetuju untuk memulangkan empat ekar dari 12 ekar pada awalnya.

“Kita juga tidak perlu bayar pemaju, kalau kita batalkan (development order) Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) perlu bayar RM150 juta kepada pemaju,” katanya.

Tambah Khalid, kalau kabinet memilih untuk membatalkan projek tersebut maka ia sebenarnya tidak menyelesaikan masalah.

“Kalau DBKL batalkan (development order) kita akan kembali pada asasnya iaitu tiada perumahan bagi perumahan rumah panjang,” katannya.

Beliau berkata lagi perjanjian baru dengan pemaju turut tidak melibatkan tanah di Taman Rimba Kiara yang sebelum ini mencetuskan kemarahan penduduk.

Penduduk TTDI membantah projek itu sejak taman itu dizonkan semula untuk pembangunan oleh pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Mereka mendakwa projek yang diluluskan oleh Tengku Adnan Tengku Mansor itu terlibat dengan rasuah dan kepentingan peribadi.

Khalid sebelum ini dikecam hebat oleh persatuan penduduk dan aktivis alam sekitar susulan kenyataannya membayangkan projek itu boleh diteruskan sekiranya DBKL membayar pampasan RM150 juta.

Peguam Ambiga Sreenevasan dan Derek Fernandez sebaliknya berkata projek itu tidak sah dan boleh dibatalkan tanpa perlu terikat dengan syarat. – 11 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen