Saksi tak dapat sahkan minit mesyuarat antara CEO SRC International, Najib


Bede Hong

Ismee Ismail memberitahu mahkamah yang Najib tak pernah hadir dalam mesyuarat lembaga pengarah SRC International. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 Jun, 2019.

BEKAS pengerusi Lembaga Pengarah SRC International Ismee Ismail tidak dapat mengesahkan kesahihan minit mesyuarat yang dikatakan berlaku antara Najib Razak dan CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil.

Pihak pendakwaan mahu menghantar minit tersebut sebagai bahan bukti.

Semalam, Ismee memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau dan ahli lembaga pengarah yang lain diberi taklimat oleh Nik Faisal pada 13 September 2011 tentang pertemuannya dengan Najib pada 7 September 2011.

Dikatakan, pada pertemuan tersebut, Najib meluluskan deposit RM1.8 bilion dana SRC International ke dalam akaun bank luar negara.

Ketika disoal balas oleh peguam bela Harvinderjit Singh hari ini, Ismee bersetuju bahawa beliau tidak dapat mengesahkan minit mesyuarat bertarikh 7 September itu adalah sama seperti yang dirujuk dan diberitahu kepadanya oleh Nik Faisal ketika mesyuarat lembaga pengarah.

Ismee memberitahu mahkamah, yang beliau menemui dokumen tersebut dalam begnya tahun lepas ketika diminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sama ada beliau ada dokumen lain berkaitan SRC International.

LANGSUNG: Perbicaraan Najib. 

Ismee disoal siasat oleh SPRM pada 2015.

Bagaimanapun hari ini, Ismee memberitahu mahkamah ketika disoal pasukan pembelaan bahawa beliau tidak melihat sendiri Najib mengesahkan minit mesyuarat itu.

Semalam beliau memberitahu mahkamah yang beliau dimaklumkan Nik Faisal yang “secara dasarnya” minit tersebut disahkan.

Menurut Ismee, walaupun beliau adalah ahli lembaga pengarah SRC International, beliau tidak pernah berjumpa Najib dan bekas perdana menteri itu juga tidak pernah hadir mesyuarat lembaga pengarah. – 11 Jun, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen