Arab Saudi patahkan serangan 2 dron


Dron itu disasarkan kepada Khamis Mushait di selatan negara itu tetapi tidak menyebabkan kerosakan atau kematian, kata tentera pakatan diterajui Arab Saudi di Yaman. – Gambar AFP, 11 Jun, 2019.

PASUKAN tentera udara Arab Saudi semalam memintas dua cubaan serangan dron dilancarkan pemberontak Huthi di negara jiran, Yaman, lapor media negara itu ketika pengganas dikaitkan dengan Iran itu memperhebat serangan kepada negara itu.

Dron itu disasarkan kepada Khamis Mushait di selatan negara itu tetapi tidak menyebabkan kerosakan atau kematian, kata tentera pakatan diterajui Arab Saudi di Yaman dalam kenyataan dikeluarkan awal hari ini oleh Agensi Media Saudi (SPA).

Pemberontak menerusi medianya, Al-Masirah awal hari ini berkata mereka mensasarkan pangkalan tentera udara King Khalid berhampiran Khamis Mushait.

Serangan itu berlaku selepas SPA melaporkan pakatan tentera memperhebatkan serangan udara kepada kedudukan Huhti di utara Yaman, Hajjah.

Pemberontak memperhebatkan serangan dron dan peluru berpandu ke atas negara itu ketika ketegangan antara kuasa Syiah, Iran dan Amerika Syarikat yang juga sekutu utama Arab Saudi semakin memuncak.

Bulan lepas, tentera udara Saudi menembak jatuh dron bom dilancarkan Huthi yang mensasarkan lapangan terbang Jizan, berhampiran dengan selatan Yaman, kata pakatan tentera.

Lapangan terbang itu digunakan oleh ribuan orang awam setiap hari, tetapi tiada laporan kehilangan nyawa berlaku dan pakatan tentera memberi amaran keras kepada pemberontak.

Pakatan tentera diketuai Arab Saudi menceroboh Yaman pada Mac 2015 untuk menentang pemberontak Huthi, yang masih menawan bandar Sanaa dan mengembalikan kuasa kepada Presiden Abedrabbo Mansour Hadi.

Sejak itu, konflik itu sudah membunuh ribuan orang, kebanyakan orang awam, kata agensi kemanusiaan.

PBB menyifatkan ia krisis kemanusiaan terburuk, dengan 24.1 juta -lebih dua pertiga penduduk- memerlukan bantuan. – AFP, 11 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen