KIM Jong Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jung Un adalah sumber maklumat Agensi Perisikan Pusat (CIA) AS, lapor Wall Street Journal.
Memetik sumber yang mengetahui perkara itu, laporan menyebut yang Jong Nam bertemu dengan pegawai CIA beberapa kali, termasuk ketika lawatan terakhirnya ke Malaysia.
Dikatakan yang hubungan Jong Nam dan CIA tidak jelas, tetapi “ada hubungan” antaranya dengan agensi perisikan AS itu.
Bekas pegawai AS itu bagaimanapun berkata yang Jong Nam berkemungkinan besar memberikan maklumat tentang negara yang dipinggirkan dunia itu.
Mereka juga berkata, “hampir pasti” beliau juga bekerjasama dengan beberapa agensi perisikan negara lain, termasuk China.
Akhbar Jepun Asahi Shimbun pada Mei 2017 melaporkan Jong Nam mengadakan pertemuan dengan seorang Korea-Amerika di Malaysia yang dipercayai pegawai perisik AS.
Laporan menyebut, pada perbicaraan kes bunuhnya di Kuala Lumpur, polis Malaysia memberi keterangan yang Jong Nam menghabiskan masa beberapa hari di Langkawi dan dipercayai bertemu dengan pegawai perisikan AS berketurunan Korea-Amerika itu.
Peranan Jong Nam sebagai sumber CIA juga ada diceritakan dalam buku tentang Jong Un, “The Great Successor” yang ditulis oleh wartawan Washington Post dan akan diterbitkan hari ini.
WSJ gagal mendapatkan ulasan CIA dan China. – 11 Jun, 2019.
Komen