Suspek bunuh Jong-Nam temui bapa kali pertama sejak ditahan


Muzliza Mustafa

Tran Huy Hoang, sepupu kepada warga Vietnam yang dituduh membunuh Kim Jong-Nam, menemani bapa wanita itu bertemunya di penjara Kajang, pagi ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 12 April, 2017.

SUSPEK kes bunuh, Doan Thi Huong bertemu bapanya kali pertama hari ini hari ini sejak ditahan pada 15 Februari kerana didakwa membunuh warga Korea Utara Kim Jong-Nam.

Wanita warga Vietnam yang didakwa membunuh pada 5 April, bertemu bapanya Doan Van Thanh, 63, di penjara Kajang pagi ini. Van Thanh ditemani sepupu Thi Huong, Tran Huy Hoang.

Bercakap kepada media hari ini, Van Thanh berkata anaknya itu bimbang dengan keselamatannya dan meminta mereka tinggal di kedutaan Vietnam sehingga kepulangan mereka ke Vietnam.

“Dia bimbangkan keselamatan bapanya. Bapanya juga tidak akan hadir ke mahkamah esok,” kata Tran yang menterjemahkan kenyataan Van Thanh.

Van Thanh, yang pada mulanya dikatakan akan ada pada temu bual itu, tidak menghadirkan diri.

Katanya, keadaan Thi Huong lebih baik sekarang berbanding sebelum ini.

“Dia tidak sedih tetapi agak bimbang dengan keselamatan bapanya di sini. Bapanya perlu tinggal di kedutaan Vietnam,” kata Tran.

Van Thanh dan Tran tiba di sini pada Isnin. Mereka dijangka pulang pada Sabtu tetapi mungkin akan kembali ke Vietnam lebih awal selepas pertemuan mereka dengan kedutaan dan Thi Huong pagi tadi.

Tran berkata perbelanjaan mereka dibayar oleh organisasi bukan kerajaan.

“Mereka uruskan semuanya kerana kami tidak ada wang untuk datang ke sini,” kata Tran.

Bapa Thi Huong bekerja sebagai pekerja pembersihan di pasar di Vietnam. Thi Huong mempunyai empat adik-beradik dan ibunya meninggal dunia tahun lalu kerana penyakit jantung.

Tran berharap Malaysia akan mendapati Thi Huong tidak bersalah.

Katanya, keluarga mereka sangat terkejut ketika mengetahui mengenai kes itu tetapi tahu dia tidak bersalah.

“Semua keluar kami dan rakyat Vietnam tahu Thi Huong tidak bersalah kerana dia seorang yang sangat baik. Kami harap Malaysia tahu yang dia tidak bersalah,” katanya.

Van Thanh dan Tran juga bertemu peguam Thi Huong, Hisham Teh Poh Teik semalam tetapi tidak boleh mendedahkan butiran pertemuan itu.

Thi Huong, 28, ditahan bersama warganegara Indonesia Siti Aishah yang turut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada 1 Mac kerana membunuh abang sebapa kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un pada 13 Februari di klia2.

Jong-Nam dibunuh pada 13 Februari ketika menunggu pesawatnya ke Macau.

Kes itu ditangguhkan pada 13 April bagi memberikan masa kepada kedua-dua pihak, pendakwa dan peguam bela menyiapkan hujahan mereka dan perbicaraan akan dijalankan di mahkamah lebih tinggi.

Kes itu dijangka dipindahkan ke Mahkamah Tinggi esok.

Dalam kertas pertuduhan, kedua-dua wanita itu dituduh membunuh “Kim Chol”.

Polis sudah pun mengenal pasti Kim Chol sebagai Kim Jong-Nam.

Menurut polis, empat warga Korea Utara, yang melarikan diri dari negara ini dilihat bersama dua wanita terbabit sebelum mereka mendekati Jong-Nam.

Malaysia bersetuju memulangkan mayat Jong-Nam bersama dua lagi individu berkepentingan yang sebelum itu dikehendaki bagi soal siasat membantu penyiasatan pembunuhan itu, sebagai pertukaran keselamatan sembilan rakyat Malaysia yang dilarang meninggalkan Korea Utara.

Kedua-dua negara sudah memanggil pulang duta masing-masing. – 12 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen