Lukisan termahal dunia atas kapal putera mahkota Arab


Salvator Mundi dipercayai karya Leornado da Vinci terjual dengan harga RM1.9 bilion pada 2017. – Gambar AFP, 11 Jun, 2019.

SEJAK rekod jualan mencecah AS$450 juta (RM1.9 bilion), lokasi Salvator Mundi, lukisan yang dipercayai karha Leornado da Vinci jadi misteri terbesar seni dunia.

Semalam, broker seni berpangkalan di London, Kenny Schachter yang menulis untuk laman Artnews, memberikan jawapan: lukisan itu kini dipamerkan dalam kapal layar mewah milik Putera Mahkhota Arab Saudi Mohammed bin Salman, MBS.  

Sejak mencatatkan rekod jualan di Christie pada 2017, lukisan itu yang memaparkan Nabi Isa muncul dalam kegelapan untuk menerangi dunia dengan sebelah tangan memegang dunia, tidak pernah dipamerkan kepada umum, mencetuskan curiga tentang pemilik, lokasi dan ketulenannya.

Ramai pakar seni berbelah bahagi tentang ketulenan lukisan itu, mengatakan ia tidak dilukis oleh pelukis terkenal itu sendiri walaupun dihasilkan di bengkelnya.

Wall Street Journal pertama sekali melaporkan tentang lukisan itu dibeli oleh Putera Saudi Badr bin Abdullah, yang bertindak bagi pihak putera mahkota.

Riyadh tidak pernah menafikan atau membenarkan laporan itu.

AFP tidak dapat mengesahkan laporan Schachter dan dalam gaya dunia seni yang penuh rahsia, beliau menulis, “dalam gelap perairan Timur Tengah tidak ada apa yang sejelas air jernih.”

Tetapi, memetik beberapa sumber termasuk dua pihak terlibat secara langsung dalam jualan itu, Schachter mendakwa lukisan itu “dibawa masuk ke dalam kapal MBS pada tengah malam sebelum dipindahkan ke dalam kapal layarnya, Serene”.

Schachter menulis yang lukisan itu akan kekal berada dalam kapal layar mewah itu sebelum dipindahkan ke Al-Ula, kawasan yang mahu dijadikan Arab Saudi sebagai tumpuan kebudayaan dan pelancongan. – AFP, 11 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen