Iran batal kebenaran bekerja wartawan New York Times


New York Times mendedahkan berita tentang wartawannya Thomas Erdbrink apabila wujud spekulasi di media sosial tentang kehilangannya sejak beberapa minggu lepas ketika ketegangan antara Washington dan Tehran semakin memuncak. – Gambar AFP, 11 Jun, 2019.

NEW York Times semalam berkata Iran membatalkan kebenaran wartawannya di Tehran, menyebabkan beliau tidak boleh bekerja sejak empat bulan lalu.

Akhbar itu berkata ia mendedahkan berita tentang wartawannya Thomas Erdbrink apabila wujud spekulasi di media sosial tentang kehilangannya sejak beberapa minggu lepas ketika ketegangan antara Washington dan Tehran semakin memuncak.

Ia berkata Kementerian Luar Iran memberi jaminan bahawa kebenaran Erdbrink akan diberikan semula tetapi tidak menawarkan penjelasan terhadap sebab ia dibatalkan.

Erdbrink, seorang warga Belanda sudah melaporkan dari Iran untuk akhbar itu sejak 2012 dan sebelum itu bekerja untuk Washington Post dari negara itu.

Menurut akhbar berkenaan, isteri wartawan itu, Newsha Tavakolian, seorang jurugambar juga ditarik balik kebenaran untuk bekerja.

Akhbar itu berkata bukan sesuatu yang luar biasa untuk negara menggantung kebenaran wartawan bekerja dan Erdbrink pernah digantung kebenaran sebelum ini.

Pada 2014, pihak berkuasa Iran menahan wartawan Washington Post Jason Rezaian selama hampir dua tahun atas tuduhan risikan sebelum membebaskannya. – AFP, 11 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen