GOOGLE meraih pendapatan AS$4.7 bilion pada 2018 dengan “menggunakan” laman berita tanpa membayar penerbit, menurut kajian industri dikeluarkan semalam yang dibantah oleh penganalisis gergasi teknologi dan media itu.
Kajian oleh News Media Alliance mendedahkan bahawa Google dan gergasi dalam talian lain menjejaskan organisasi berita tradisional dengan mendominasi ekosistem berita internet dan keuntungan daripada iklan yang dijana melaluinya.
Menurut kajian, Google meningkatkan keuntungan daripada kandungan berita dengan mengekalkan pengguna dalam ekosistemnya, dan carian berita membantu gergasi internet itu mengumpul data pengguna untuk membantu menyesuaikannya dengan produk lain.
Laporan itu dijangka dibentangkan minggu ini pada pendengaran Kongres mengenai salah guna syarikat teknologi gergasi dan menyokong perundangan yang membolehkan organisasi media dikecualikan daripada perundangan anti percaya dan rundingan semula keuntungan digital dilakukan.
Google dan beberapa penganalisis media menafikan hasil kajian itu.
“Pengiraan ini tidak tepat seperti mana yang dikatakan oleh beberapa orang pakar,” kata seorang jurucakap Google.
“Jumlah besar carian berita tidak menunjukkan sebarang iklan. Kajian ini mengabaikan nilai yang ditawarkan Google. Setiap bulan Google News dan Google Search memandu lebih 10 bilion klik ke laman penerbit, yang membantu peningkatan langganan dan perolehan keuntungan iklan.”
Penganalisis lain juga menyuarakan kecurigaan terhadap kaedah dan kesimpulan kajian oleh kumpulan media yang sebelum ini dikenali sebagai Newspaper Association of Amerika.
Jeff Jarvis, profesor kewartawanan City University of New York, menyifatkan kajian itu pincang kerana ia berdasarkan hasil keputusan carian semata-mata.
“Hasil carian bukan kandungan,” kata Jarvis di Twitter. “Ia dikaitkan kembali kepada penerbit. Google tidak membuat untung menerusi Google News. Ia buat untung dengan meletakkan iklan di dalam laman penerbit.”
Kajian itu dikeluarkan beberapa bulan selepas Kesatuan Eropah menggunakan undang-undang hak cipta yang memerlukan Google dan gergasi carian lain untuk membayar penerbit berdasarkan kandungan berita yang muncul dalam carian.
Banyak syarikat media dan artis menyokong tindakan EU yang bertujuan menyerakkan keuntungan platform gergasi itu. Tetapi, undang-undang itu ditentang hebat oleh aktivis kebebasan internet dan Lembah Silikon kerana bimbang ia akan menjejaskan aspek perkongsian maklumat. – AFP, 11 Jun, 2019.
Komen