Wabak misteri, Orang Asli hidup ketakutan


Noel Achariam Ravin Palanisamy

Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh, Gua Musang kini berdepan wabak penyakit misteri yang menyebabkan sekurang-kurangnya 14 orang maut sejak bulan lepas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 11 Jun, 2019.

PAPAN hanya mahu hidup tenang dalam hutan tebal di Gua Musang, Kelantan, tetapi ketenangan itu berkecai dengan kematian dua anak gadis suntinya disebabkan penyakit yang masih cuba dikenal pasti pihak berkuasa.

Lelaki Orang Asli suku kaum Batek berusia 40 tahun dari Kampung Kuala Koh kehilangan anak gadisnya minggu lepas selepas jatuh sakit didakwa meminum air tercemar dari sungai berhampiran rumah mereka.

“Saya masih tidak boleh terima mereka sudah tiada. Ia terlalu pantas berlaku,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Papan kini hanya mempunyai dua orang anak lagi, terus dilanda bimbang kerana mereka masih tinggal berhampiran kawasan yang didakwanya tercemar itu.

“Kami tidak tahu apa yang berlaku di sini. Kami harap pihak berkuasa boleh beritahu kami punca masalah.”

Suku kaum itu kini hidup dalam ketakutan selepas kematian ahli keluarga mereka yang tidak diketahui sebabnya.

Sekurang-kurangnya 14 orang ahli masyarakat itu, termasuk seorang bayi berusia setahun meninggal dunia sejak bulan lepas. Semua kematian didakwa berpunca daripada kesukaran bernafas.

Kerajaan masih mencari punca kematian mereka, yang dakwa sesetengah pihak disebabkan pencemaran sungai.

Menurut data Kementerian Kesihatan, suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh terdiri daripada 39 keluarga seramai 185 orang.

Penduduk Kampung Kuala Koh, Gua Musang kini hidup dalam ketakutan dan tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 11 Jun, 2019.

Sehingga kini, lebih separuh daripada mereka-atau 99 orang- jatuh sakit berkaitan masalah pernafasan. Penyakit kencing tikus dan batuk kering pada mulanya dianggap punca masalah kesihatan itu, tetapi kajian menunjukkan ia bukan punca sebenar.

Komuniti itu sudahpun dipindahkan daripada rumah mereka ke khemah sementara yang terletak jauhnya 2 km daripada lokasi asal.

Mereka kini tidak mempunyai bekalan air bersih untuk mandi, memasak atau membasuh pakaian dan bergantung kepada sumbangan orang ramai untuk air bekalan minuman.

Seorang lagi penduduk, Soi Moi 49, yang juga kehilangan dua anaknya masih tidak dapat menerima kematian mereka yang mengejut itu.

“Kedua-dua mereka sudah berkahwin dan sekarang tiga orang cucu saya terpaksa membesar tanpa mereka,” katanya.

Menurut data Kementerian Kesihatan, suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh terdiri daripada 39 keluarga seramai 185 orang.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 11 Jun, 2019.

Soi Moi berkata, kematian kedua-dua anaknya terlalu mengejut dan berlaku dalam tempoh tiga hari selepas jatuh sakit.

“Pada mulanya saya ingat demam biasa, tetapi pada hari ketiga mereka meninggal,” katanya.

Beliau juga mendedahkan kekurangan akses jalan kepada kampung mereka, mendakwa hospital terdekat letaknya lebih sejam perjalanan.

“Jika ada sesiapa jatuh sakit kami terpaksa panggil ambulans menerusi Tok Batin.

“Kami juga tidak ada pengangkutan sendiri dan telefon bimbit,” katanya.

Kanak-kanak antara yang paling teruk terjejas disebabkan wabak sakit misteri di Kampung Kuala Koh, Gua Musang hanya bergantung kepada air bersih dalam botol disumbangkan orang ramai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 11 Jun, 2019.

Sejak wabak itu tercetus, Orang Asli kampung tersebut terpaksa meredah hutan hampir sejam untuk mendapatkan air bersih.

Mereka mendakwa sungai berhampiran perkampungan mereka yang digunakan sebagai sumber air, kini tercemar.

Seorang lagi penduduk, Mazlan, 20, mendakwa sungai itu dicemari baja dari lombong berhampiran.

“Kami selalu guna air bersih daripada sungai itu tetapi sekarang ia tercemar dengan pelbagai benda. Sekarang, kalau kami mandi dalam sungai itu, kami akan dapat ruam dan seluruh badan gatal-gatal,” katanya.

Mamat yang ada enam orang anak berkata mereka tidak mahu menggadai nyawa mereka dengan menggunakan air sungai itu lagi.

“Kami tidak tahu situasi sungai itu sekarang. Tiada siapa beritahu kami apa-apa. Kami takut dan sekarang kami hanya minum air botol yang diberikan kepada kami,” katanya.

Komuniti itu yang terkejut dengan penyakit misteri itu, mengebumikan mayat mereka yang meninggal menurut adat mereka tanpa melaporkan kepada pihak berkuasa.

Hanya dua kematian yang dilaporkan kepada polis.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Dr Juli Edo berkata, masalah itu bertambah buruk disebabkan masalah komunikasi kerana perkampungan itu terletak jauh di dalam hutan berhampiran Taman Negara di sempadan Kelantan dan Pahang.

Polis akan memulakan operasi hari ini untuk mengesan 12 kubur Orang Asli yang dikatakan meninggal sejak bulan lepas.

Mayat itu akan digali semula dan dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat bagi mengesan punca sebenar kematian. – 11 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen