Pencemaran sungai boleh jejaskan seluruh Kelantan, kata Husam


Alfian Z.M. Tahir

Wabak sakit misteri yang melanda Kampung Kuala Koh, Gua Musang yang menyebabkan kematian dalam komuniti Orang Asli Batek dibimbangi menjejaskan seluruh Kelantan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 11 Jun, 2019.

SELURUH Kelantan berisiko terjejas sekiranya pihak berkuasa tidak menyelesaikan masalah pencemaran di Sungai Aring di Kuala Koh berhampiran Gua Musang, kata pemimpin pembangkang negeri.

Beratus-ratus penduduk yang bergantung kepada Sungai Aring untuk bekalan air berdepan dengan risiko keracunan sekiranya pihak berkuasa tidak segera mengenal pasti bahan kimia toksik yang mencemarkan sungai sehingga meragut 15 nyawa.

Pemimpin Pakatan Harapan Kelantan Husam Musa berkata, keadaan itu boleh menjadi tidak terkawal kerana sungai berkenaan mengalir ke Sungai Kelantan yang melalui negeri itu dan merupakan sumber air utama.

Husam juga memberitahu The Malaysian Insight bahawa laporan awal menunjukkan Sungai Aring telah tercemar dengan arsenik.

Beliau berkata, pihak berkuasa perlu mendapatkan ujian darah ke atas pesakit Orang Asli yang kini ditahan di beberapa hospital di negeri ini.

“Sebelum ini dilaporkan Sungai Aring tercemar dengan arsenik. Ini berbahaya kerana sungai itu mengalir ke Sungai Kelantan.

“Kami akan melihat masalah yang lebih besar jika bahan kimia toksik tidak ditentukan. Seluruh negeri akan melihat kesannya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad tiba di Hospital Gua Musang selepas wabak misteri melanda perkampung Orang Asli yang dipercayai membunuh sekurang-kurangnya 14 orang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 11 Jun, 2019.

Husam berkata, beliau telah menghantar surat kepada Jabatan Mineral dan Geosains negeri untuk meminta senarai syarikat perlombongan yang beroperasi di kawasan Kuala Koh.

Ditanya mengenai usaha yang dilakukan kerajaan negeri PAS untuk mengatasi masalah yang berlaku Husam berkata, pentadbiran masih membincangkan perkara itu.

Arsenik adalah unsur kimia dalam banyak mineral biasanya digabungkan dengan sulfur dan logam.

Ia digunakan dalam pengeluaran racun perosak, produk kayu yang dirawat dan racun serangga.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata semalam, Putrajaya bersedia untuk menggali semula kubur 12 Orang Asli dari Kampung Kuala Koh yang dikebumikan jauh di pedalaman hutan bagi tujuan bedah siasat.

“Terdapat dua kes yang mencukupi (untuk kenal pasti punca kematian)…tidak ada masalah untuk gali semula.

“Kita bersedia melakukannya. Tetapi kita tidak tahu di mana mereka dikebumikan,” kataya pada sidang akhbar selepas melawat penduduk Orang Asli Kampung Kuala Koh yang masih dirawat di Hospital Gua Musang.

Orang Asli Batek mendapat rawatan di Hospital Gua Musang selepas wabak misteri melanda sungai yang jadi sumber air kampung mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 11 Jun, 2019.

Ahad lepas, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Shariffa Sabrina Syed Akil menggesa kerajaan negeri memindahkan semua Orang Asli yang tinggal di kampung itu ke tempat lebih selamat.

Shariffa Sabrina berkata, kematian penduduk Orang Asli dari suku Batek yang minum air tercemar di Kampung Kuala Koh di Gua Musang dapat dicegah sekiranya kerajaan negeri menyekat aktiviti perlombongan dan pembalakan di kawasan berkenaan.

“Semenjak aktiviti lombong dan pembalakan bermula, penduduk kampung mula jatuh sakit dan sukar meneruskan hidup. Pihak bertanggungjawab sepatutnya tampil menyelesaikan masalah ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Penyebab wabak penyakit masih ditentukan tetapi pesakit menunjukkan tanda-tanda berdepan masalah pernafasan.

Kejadian berlaku apabila lebih 100 penduduk kampung mula mendapatkan rawatan untuk symptom sama dan dua daripada mereka kemudiannya meninggal dunia.

Pertubuhan amal yang bekerja dengan suku Batek telah menyalahkan sumber air tercemar oleh sisa kimia dari operasi perlombongan dan ladang berdekatan.

Sehingga kini terdapat 42 penduduk Orang Asli yang masih menerima rawatan di Hospital Gua Musang dan Hospital Kuala Krai. Seorang daripada 47 penduduk sudah dibenarkan keluar dan menerima rawatan pesakit luar. – 11 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen