LEBIH 1.42 juta penduduk terjejas akibat banjir kerana hujan lebat di Wilayah Jiangxi yang terletak di timur China dengan sejumlah 135,000 orang telah dipindahkan, lapor agensi berita Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan hari ini.
Bermula Khamis, hujan lebat telah mengakibatkan sembilan bandar di wilayah itu ditenggelami air, kata biro pengurusan kecemasan Jiangxi.
Sehingga jam 9.30 pagi tadi, banjir telah menjejaskan tanaman di tanah seluas 110,500 hektar dan memusnahkan 10,800 hektar tanaman manakala 715 buah rumah ditenggelami air yang melimpah dengan 313 daripadanya rosak teruk.
Kerugian langsung dari segi ekonomi dianggarkan sebanyak 2.65 bilion yuan (kira-kira US$383 juta).
Biro pengurusan kecemasan wilayah telah memperuntuk sejumlah 800 tilam lipat, 1,000 selimut dan 1,000 tikar buluh ke kawasan yang dilanda bencana itu.
Kerajaan tempatan turut menghantar bahan bantuan termasuk makanan, air minuman dan pakaian. – Bernama, 10 Jun, 2019.
Komen