Kekalkan keputusan koroner kes kematian dalam tahanan, kata peguam


Noel Achariam

Eric Paulsen berkata koroner juga mendapati kegagalan polis menghalang tahanan lain memukul serta menyediakan rawatan perubatan menjadi punca kematian P. Karuna Nithi pada 2013 semasa ditahan polis. – Gambar Facebook, 25 September, 2017.

MAHKAMAH Tinggi Seremban perlu menggunapakai keputusan koroner mahkamah bahawa kematian jurutera P. Karuna Nithi yang mati dalam tahanan polis disebabkan pelbagai kecederaan, kata Eric Paulsen dari Lawyers for Liberty.

Paulsen yang mewakili keluarga si mati berkata koroner mahkamah pada April tahun lepas tidak terkhilaf dalam menolak laporan bedah siasat pakar patologis Dr Sharifah Safoorah Syed Alwee Al’ Adrus.

“Ini adalah kerana dia (Dr Sharifah) melakukan banyak kepincangan dalam pemeriksaan serta cara dia melakukan bedah siasat itu.

“Dalam laporan bedah siasat dia mengakui yang penyakit hati Karuna tidak serius dan keadaan lemak dalam hatinya tidak serius. Jadi bagaimana dia boleh meninggal?” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada Mei 2103, isteri Karuna membuat laporan polis mengenai pergaduhan rumah tangga di Tampin, Jurutera berusia 42 tahun itu kemudian ditahan dan meninggal tiga hari kemudian dalam tahanan polis.

Pendakwa raya awam sedang merayu kepada mahkamah tinggi untuk menolak keputusan koroner mahkamah yang mengatakan kematian Karuna disebabkan pelbagai kecederaan. Keputusan dijangka diumumkan pada 9 Oktober depan.

“Asas pendakwa raya untuk menolak penghakiman koroner mahkamah adalah kerana dalam laporan asal Dr Sharifah yang mengatakan kematian berpunca daripada perubahan lemak dalam hati.

“Walaupun terdapat bukti CCTV yang Karuna dibelasah teruk oleh tahanan lain dan anggota polis. Pendakwa raya mengatakan yang mahkamah tinggi perlu menerima keterangan Dr Sharifah.”

Koroner mahkamah tahun lepas mendapati kematian Karuna disebabkan pelbagai kecederaan. Empat puluh sembilan kecederaan ditemui di tubuhnya.

“Koroner mahkamah mendapati kecederaan itu disebabkan objek tumpul, serangan fizikal, penderaan dan tindakan melanggar undang-undang oleh individu tidak dikenali.

“Penemuan koroner juga termasuklah kegagalan polis untuk memberikan rawatan perubatan dan menghalang tahanan lain daripada mendera si mati dalam lokap polis.”

Karuna adalah salah seorang daripada 256 tahanan yang mati dalam tahanan polis antara 2000 hingga 2015. Kematian itu dilaporkan disebabkan kekejaman dan kecuaian polis.

Kes itu menjadi tumpuan dalam laporan setebal 270 muka surat dikeluarkan Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia yang diterbitkan tahun lepas. – 25 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen