BEKAS presiden Amerika Syarikat (AS) Jimmy Carter pada Ahad berkata beliau telah berkongsi pengalaman menangani China dengan Presiden Donald Trump dalam sepucuk surat baru-baru ini, lapor agensi berita Xinhua.
Carter, 94, memaklumkan para hadirin Geraja Baptis Maranatha di negeri Georgia mengenai surat yang dihantarnya kepada Trump.
Trump membalas dengan menghubunginya semula, kata Carter.
“Tujuan utama beliau membuat panggilan itu adalah untuk bercakap secara terus-terang kepada saya di talian peribadi bahawa China kini mendahului Amerika Syarikat dengan pelbagai cara.”
Carter berkata beliau memberitahu Trump bahawa AS telah membelanjakan bertrilion dolar dalam peperangan pada masa lalu manakala China pula telah melabur dalam projek seperti kereta api berkelajuan tinggi yang memanfaatkan rakyatnya.
Carter menjadi presiden dari 1977 hingga 1981. Semasa beliau memegang jawatan itu, China dan AS secara rasmi mewujudkan hubungan diplomatik.
Kehadiran beliau di gereja itu pada Ahad adalah untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang hadir atas ucapan selamat mereka kepadanya.
Ia juga merupakan hari pertama beliau meneruskan pengajaran pada hujung minggu selepas menjalani pembedahan pinggul di tempat kelahirannya di Georgia bulan lepas.
Pada Rabu, Carter bakal menjadi penerima pertama Anugerah George H. W. Bush sebagai Negarawan dalam Hubungan AS-China.
Anugerah itu adalah untuk mengiktiraf “sumbangan besar Carter kepada pembangunan hubungan yang membina serta saling memberi manfaat” antara AS dan China, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Yayasan George H. W. Bush bagi Hubungan AS-China pada Khamis. – Bernama, 10 Jun, 2019.
Komen