Jawatankuasa pilihan khas jawatan utama mesyuarat Khamis ini


Diyana Ibrahim

Pengerusi Jawatankausa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan Utama Perkhidmatan Awam, William Leong berkata mesyuarat itu akan membincangkan dengan lebih terperinci pelantikan Latheefa Koya yang tidak dirujuk terlebih dahulu kepada jawatankuasa itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 Jun, 2019.

JAWATANKUASA Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan Utama Perkhidmatan Awam akan bermesyuarat Khamis ini bagi membincangkan isu pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuhan Malaysia (SPRM) yang baharu, kata pengerusinya William Leong.

Katanya, mesyuarat itu akan membincangkan dengan lebih terperinci pelantikan Latheefa yang tidak dirujuk terlebih dahulu kepada jawatankuasa itu.

“Kita tidak tahu mengenai perkara itu, kita cuma tahu hanya melalui media.

“Jadi jawatankuasa akan melihat apa yang boleh dibuat (tindakan) mengenai perkara itu,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Notis mesyuarat itu sudah dihantar kepada Speaker Parlimen Mohamad Ariff Md Yusof hari ini mengikut peraturan bagi pemberitahuan kebenaran, tambah Leong, yang juga ahli Parlimen Selayang.

“Mesyuarat Khamis ini pada jam 10 pagi, kita bincangkan mengenai ketua SPRM yang baharu.

“Hari ini kita baru jumpa speaker, hantar notis,” katanya.

Semalam, Leong juga berkata pihaknya mahu bertemu dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menentukan peranan jawatankuasa itu selepas beberapa pelantikan utama termasuk Latheefa tidak merujuk mereka.

Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan Utama Perkhidmatan Awam dianggotai enam ahli Parlimen lain iaitu Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang-PH-PKR), Ngeh Koo Ham (Beruas – PH-DAP), Fong Kui Lun (Bukit Bintang – PH-DAP), Dr Hasan Bahrom (Tampin – PH-Amanah), Ismail Sabri Yaakob (Bera–BN-UMNO) dan Tuan Ibrahim Tuan Man (Kubang Kerian – PAS).

Minggu lalu, Tuan Ibrahim mencadangkan agar jawatankuasa pilihan khas itu digantung dahulu kerana pelantikan Latheefa jelas menunjukkan ia tidak ada peranan kerana kerajaan sendiri tidak menghormati manifesto Pakatan Harapan.

PH dalam manifestonya berjanji lantikan pesuruhjaya SPRM adalah antara jawatan utama perkhidmatan awam yang akan dirujuk kepada jawatankuasa itu.

Latheefa dilantik menggantikan Mohd Shukri Abdull berkuat kuasa 1 Jun lalu. Pelantikan yang diumumkan pada 4 Jun itu adalah bagi menggantikan Shukri yang memendekkan tempoh jawatannya daripada kontrak asal berakhir 17 Mei tahun depan.

Dr Mahathir sehari kemudian menjelaskan pelantikan Latheefa adalah pilihannya sendiri selepas merujuk pandangan beberapa pihak yang kenal peguam kanan itu, tetapi bukan anggota Jemaah Menteri.

Jawatankuasa pilihan khas yang dipengerusikan Leong diumumkan penubuhannya pada 4 Disember lalu, bersama lima jawatankuasa lain dalam rangka reformasi Parlimen di bawah pentadbiran kerajaan baharu.

Bagaimanapun semua pelantikan jawatan utama selepas itu, termasuk ketua hakim negara dan ketua polis negara, tidak juga dirujuk kepada mereka. – 10 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen