Putrajaya sedia gali semula kubur 12 Orang Asli, kata menteri


Ragananthini Vethasalam Ravin Palanisamy

Dr Dzulkefly Ahmad berkata adalah biasa untuk suku Orang Asli yang jatuh sakit untuk keluar dari penempatan mereka dan mati di tempat lain, hal ini kata beliau menjadikan mereka sukar untuk cari tempat mengebumikan si mati.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 10 Jun, 2019.

PUTRAJAYa bersedia untuk menggali semula kubur 12 Orang Asli dari Kampung Kuala Koh yang dikebumikan jauh di pedalaman hutan bagi tujuan bedah siasat, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Bagaimanapun, beliau berkata lokasi di mana mayat-mayat itu dikebumikan menjadi masalah kerana mereka dikebumikan mengikut adat Orang Asli jauh dari kampung mereka.

“Terdapat dua kes yang cukup (untuk kenal pasti punca kematian).. tetapi tidak ada masalah untuk gali semula. Kita boleh lakukannya. Malah kita memang sedia melakukannya, cuma, kita tidak tahu di mana mereka dikebumikan,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat mereka yang masih ditahan di Hospital Gua Musang.

Dzulkefly berkata adalah perkara biasa bagi suku Orang Asli yang jatuh sakit keluar dari penempatan mereka dan mati di tempat lain. Hal ini katanya, menyukarkan untuk mencari lokasi kubur si mati.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy  berkata terdapat 14 nama termasuk dua kes rasmi yang dilaporkan, dalam senarai kematian yang diberikan kepadanya oleh penduduk kampung.

Hanya dua kematian dilaporkan kepada pihak berkuasa.

“Saya jumpa mereka di kampung semalam, saya telah bercakap dengan mereka. Berdasarkan apa yang mereka katakan, mereka semua mempunyai simptom yang sama dengan mereka yang meninggal dunia,” kata Waytha sambil menambah Orang Asli suku Batek sering berpindah randah.

“Memang kebiasaan mereka yang sakit tidak tinggal di kampung, jadi mereka bergerak,” katanya.

“Mereka meninggal dunia ketika dalma perjalanan dan akan dikebumikan di hutan.”

Walaupun penyebab sebenar wabak penyakit itu masih disiasat, pesakit telah menunjukkan tanda-tanda penyakit berkaitan pernafasan, yang mungkin boleh dikaitkan dengan jangkitan bakteria atau jangkitan virus.

Baru-baru ini, banyak kematian dilaporkan terjadi di kalangan Orang Asli di Kampung Kuala Koh di Gua Musang. Selain itu, majoriti penduduk kampung juga turut jatuh sakit.

Penduduk kampung menyalahkan sumber air yang tercemar di kampung mereka, yang dikatakan dicemari bahan kimia akibat daripada operasi perlombongan dan perladangan.

Pada masa ini, terdapat 42 pesakit dalaman dan 47 pesakit luar menerima rawatan di Gua Musang dan hospital-hospital awam Kuala Krai. – 10 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen