SRC International ada "isu tadbir urus", kata bekas pengarah


Bede Hong

SALAH seorang ahli lembaga pengarah SRC International berkata beliau meletak jawatan pada 2014 kerana “isu tadbir urus” di samping turut menyalahkan tindakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nik Faisal Ariff Kamil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Ismee Ismail, yang juga merupakan bekas ketua pegawai eksekutif Tabung Haji, memberitahu mahkamah bahawa beliau mengemukakan notis peletakan jawatan pada 6 Mei 2014 dan meletak jawatan secara rasmi pada 15 Ogos 2014. Beliau berkata beliau tidak aktif sepanjang bulan-bulan tersebut.

“Saya meletak jawatan kerana saya tidak bersetuju dengan cara SRC International dikendalikan oleh CEOnya, Nik Faisal, khususnya mengenai akaun dan kewangan syarikat.”

Ismee berkata demikian di perbicaraan Najib berhubung SRC International hari ini, di mana bekas perdana menteri itu menghadapi tujuh pertuduhan jenayah melibatkan wang sebanyak RM42 juta yang masuk ke akaun bank peribadinya pada akhir 2014 dan awal 2015.

Ismee, seorang akauntan profesional, dilantik sebagai pengarah 1Malaysia Development Bhd pada tahun 2009. Beliau, bersama empat orang lagi kemudian telah dilantik ke lembaga pengarah SRC International pada 1 Ogos 2011.

Kelima-lima mereka termasuk Ismee, Nik Faisal, Suboh Yassin, Che Abdullah @ Rashidi Che Omar dan Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Ismee memberitahu mahkamah hari ini bahawa beliau merasa terganggu dengan “banyak keputusan” yang dilakukan oleh Nik Faisal.

“Nik Faisal akan cadang apa-apa jenis [pelaburan] kepada lembaga pengarah, yang kemudian akan ambil tindakan susulan untuk setiap projek yang dijalankan oleh SRC.”

Ismee berkata beliau telah membangkitkan isu tadbir urus mengenai urusan perniagaan harian di SRC International.

“Nik Faisal akan sentiasa menjawab bahawa perkara itu telah diluluskan oleh ‘kerajaan’. Pada pendapat saya, ‘kerajaan’ yang disebut oleh Nik Faisal merujuk kepada Datuk Seri Najib.

“Bagi SRC, sebarang keputusan oleh lembaga pengarah perlu mendapat maklum balas daripada penasihat SRC, iaitu Datuk Seri Najib.

“Jika ada apa-apa yang memerlukan perhatian Datuk Seri Najib, itu akan dilakukan oleh Nik Faisal kerana dia bertindak sebagai “pengantara” antara lembaga SRC dan Datuk Seri Najib.”

Ismee menambah bahawa hanya Nik Faisal akan memberi makluman kepada Najib mengenai laporan dan keputusan yang berkaitan dengan SRC International.

Beliau turut menambah bahawa Najib mempunyai kuasa mutlak untuk “menggaji dan memecat” sesiapa sahaja dalam lembaga pengarah SRC. – 10 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen