MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu sokongan daripada Najib Razak yang membawa kepada kelulusan pinjaman RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International.
Ia bukan arahan langsung daripada Najib, tetapi beliau menyokongnya dan ini memberi sedikit pengaruh ke atas keputusan untuk meluluskan pinjaman itu, kata bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) KWAP Azian Mohd Noh dalam keterangannya hari ini.
Pada masa itu, Najib memegang dua jawatan – perdana menteri dan menteri kewangan – dan beliau juga pengerusi lembaga penasihat 1Malaysia Development Bhd, yang sebelum ini memiliki SRC International.
Ketika soal balas dalam perbicaraan kes Najib itu hari ini, Azian berkata nasihat daripada Kementerian Kewangan hanya menyatakan ia bersetuju bahawa SRC International boleh memohon pinjaman daripada KWAP.
Bagaimanapun, ketika disoal semula, Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff meminta Azian mendefinisikan perbezaan antara paksaan dan pengaruh.
Azian: Tiada paksaan undang-undang tetapi saya tidak boleh kata yang sama tidak ada pengaruh. Surat itu dari menteri kewangan, perdana menteri, menteri bertanggungjawab atas KWAP. Dia bos saya paling tinggi. Saya tidak boleh nafikan ada pengaruh tertentu di situ.
Ketua peguam bela Shafee Abdullah bertanya kepada saksi jika “pengaruh” ini, jika ada dilakukan diri sendiri.
Azian: Sama ada saya dipaksa atau sama ada saya dipengaruhi, jadi saya menjawab kepada soalan itu. Saya tidak fikir ia reaksi aneh bila mereka terima permintaan daripada atasan mereka.
Shafee: Sebagai CEO KWAP yang bertanggungjawab, adakah anda akan benarkan KWAP buat keputusan salah berdasarkan isu pengaruh?
Azian: Sebagai CEO, tugas saya melindungi KWAP dan memastikan ia tidak mengalami kerugian daripada pelaburan. Pengaruh yang saya cakapkan itu ialah untuk membantu proses pinjaman berkenaan.
Shafee: Saya katakan kepada anda, bahawa anda tidak akan buat keputusan yang bercanggah dengan kepentingan KWAP berdasarkan kepada pengaruh hierarki.
Azian: Apa juga pengaruh, apa juga yang saya rasakan pasti. Saya tidak akan buat sesuatu yang boleh melanggar undang-undang atau akta. – 10 Jun, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen