RATUSAN orang berkumpul di luar konsulat China di Vancouver pada hari Ahad bagi menyatakan bantahan terhadap rancangan kontroversi untuk membenarkan ekstradisi dari Hong Kong ke tanah besar China.
“Pindaan ini akan menjejaskan berjuta-juta orang, bukan hanya orang Hong Kong - bahkan semua orang di seluruh dunia,” kata Mabel Tung, penganjur protes tersebut dan juga merupakan ketua Persatuan Vancouver dalam menyokong Gerakan Demokrasi, kepada AFP.
Tung, yang berhijrah ke Kanada dari Hong Kong 40 tahun lalu banyak menganjurkan bantahan terhadap pelanggaran hak asasi manusia di China.
Kebanyakan aktivis seperti beliau akan menghadapi risiko ekstradisi ketika transit melalui Hong Kong jika rang undang-undang itu diluluskan.
Para penunjuk perasaan membawa plakad membantah terhadap undang-undang ekstradisi dan payung kuning sebagai menyokong siri protes pro-demokrasi sejak 2014 di Hong Kong yang dikenali sebagai “Gerakan Umbrella.”
Beberapa penunjuk perasaan juga mengangkat papan tanda yang menyeru pembebasan dua orang warga Kanada, Michael Kovrig dan Michael Spavor, yang ditahan di China pada Disember selepas Vancouver menahan Meng Wanzhou, eksekutif utama syarikat Huawei, milik China.
Ribuan pendatang dari Hong Kong menetap di Vancouver sejak tahun 1980-an dan 1990-an kerana ketidakpastian yang berkaitan penyerahan tadbir urus Hong Kong dari Britain kepada China pada tahun 1997.
“Kami tidak mahu Hong Kong menjadi satu lagi bandar China, di mana rakyat tidak memiliki kebebasan sama sekali,” kata Jeremy Cheng, seorang penunjuk perasaan dan juga merupakan seorang pendatang ke Kanada yang berhijrah meninggalkan Hong Kong pada tahun 1997.
Jackie Law, seorang pelajar dari Hong Kong yang kini berada di Vancouver untuk menjalani program pelatihan, berkata perpaduan di kalangan penunjuk perasaan di Vancouver “sangat tinggi.”
“Walaupun mereka kini tinggal di Vancouver dengan kehidupan yang stabil, mereka menyuarakan pendapat untuk orang Hong Kong, ia sangat penting bagi saya,” katanya. – AFP, 10 Jun, 2019.
Komen