GABUNGAN protes di Liberia mencabar Presiden George Weah dengan demonstrasi jalanan di Monrovia, membantah kenaikan harga barangan dan rasuah, semalam mengeluarkan senarai desakan dengan memberikan tempoh empat minggu.
Ribuan rakyat – 10,000 menurut penganjur, 4,000 menurut polis – menyertai protes pada Jumaat di ibu kota negara itu, menjadi ujian politik kepada Weah yang juga ikon bola sepak.
Weah, 52, dicabar dengan isu sama yang menjadi bahan kempennya untuk menjadi presiden di negara Afrika Barat itu, 18 bulan lalu.
Mengeluarkan desakan itu, gabungan protes berkata mereka menjangkakan kerajaan memberi respons kepada desakan berkenaan dalam tempoh sebulan, di mana selepas itu, mereka akan menentukan tindakan baharu yang bakal diambil.
Desakan itu termasuk penambahbaikan dalam perkara hak asasi manusia dan rasuah selain pendakwaan terhadap menteri kewangan Samuel Tweah dan gabenor bank pusat Nathaniel Patray berhubung masalah kewangan di Bank Negara Liberia yang menyebabkan harga naik.
Gabungan itu juga menggesa Weah dan anggota kerajaannya mengisytiharkan aset mereka dan kerajaan perlu berhenti membiayai pejabat isteri perdana menteri.
Kenaikan harga barangan menjadi punca utama rasa tidak puas hati rakyat. – AFP, 10 Jun, 2019.
Komen