KAZAKHSTAN semalam memilih pengganti bekas presiden Nursultan Nazarbayev dengan 70% undi, mengikut pengundian luar, dengan polis pada masa sama menahan ratusan penunjuk perasaan pembangkang.
Kejayaan diplomat Kassym Jomart-Tokayev tidak diragui selepas beliau mendapat restu daripada Nazarbayev yang berkuasa dan mengetuai negara Asia Tengah itu sejak tiga dekad lalu.
Tokayev, 66, mendapat 70% undi, menurut kaji selidik kerajaan “Public Opinion”. Pesaing terdekatnya Amirzhan Kosanov hanya mendapat 15%.
Tetapi hari itu menjadi protes terbesar dalam negara majoriti Islam berkenaan sejak tiga tahun lalu, dengan penunjuk perasaan mendesak “boikot” terhadap pilihan raya yang didakwa sudah pun ditetapkan.
Sebelum pengundian, tindakan kekerasan dilakukan terhadap pembangkang dengan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara kepada penunjuk perasaan dan polis melakukan serbuan ke rumah aktivis.
Kementerian Dalam Negeri berkata kira-kira 500 ditahan semalam, dengan timbalan menteri Marat Kozhayev menyalahkan elemen radikal kerana mengadakan himpunan tidak sah.
Dua wartawan AFP antara yang ditahan di bandar terbesar Almati, di mana polis menyurahkan protes membabitkan ratusan orang awam.
Penunjuk perasaan melaungkan “malu, malu, malu!” dan “polis berpihak pada rakyat” ketika anggota polis menyerbu khalayak.
Aman Amanov, seorang penunjuk perasaan di Almaty meminta wartawan “menyiarkan video itu di seluruh dunia” ketika wakil media merakamkannya dibawa masuk ke van polis.
“Rakyat menentang pilihan raya haram ini,” katanya. – AFP, 10 Jun, 2019.
Komen