BERIBU-RIBU nelayan menghalang lebuh raya tersibuk di Bangladesh hari ini sebagai membantah larangan menangkap ikan selama dua bulan di Teluk Bengal.
Kumpulan nelayan itu berkata larangan selama 65 hari ini menyebabkan pendapatan mereka terjejas walaupun kerajaan berkata langkah itu bertujuan memulihkan semula stok ikan.
Bantahan selama sejam di pekan Sitakunda itu menyebabkan kesesakan trafik sejauh beberapa kilometer di laluan yang menghubungkan ibu negara, Dhaka ke bandar kedua terbesar, Chittagong.
Ketua polis tempatan Suman Banik berkata tunjuk perasaan oleh 3,000 nelayan dan keluarga mereka itu diadakan secara aman tetapi menyebabkan kesesakan trafik yang teruk di lebuh raya itu.
Penunjuk perasaan hanya bersurai selepas seorang wakil kerajaan dan ahli Parlimen tempatan berjanji untuk menolong mereka.
Larangan menangkap ikan bermula dari 20 Mei hingga 23 Julai dan zon menangkap ikan dikawal oleh tentera laut dan pengawal persisiran pantai.
Bangladesh sering mengharamkan aktiviti menangkap ikan di laut dalam dan di kawasan muara sungai bagi memulihkan bekalan ikan, tetapi tempoh larangan yang lama menyebabkan golongan nelayan marah.
Kira-kira 15 juta penduduk di wilayah itu bergantung kepada industri perikanan yang bernilai berbilion dolar. – AFP, 9 Jun, 2019.
Komen