PEMIMPIN Palestin mengecam kenyataan seorang wakil Amerika Syarikat (AS) kerana mendakwa Israel mempunyai hak untuk memisahkan kawasan yang dijajah di Tebing Barat.
Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Saeb Erekat menyifatkan kenyataan Duta AS ke Israel, David Friedman sebagai satu penglibatan unsur pelampau dalam dasar Rumah Putih berhubung isu tersebut.
Semalam, David berkata tindakan Israel untuk memisahkan kawasan yang dijajah adalah sah.
Erekat juga menyelar kenyataan David itu sebagai tidak matang dan duta pelampau kepada pendatang haram Yahudi.
Kementerian Luar Palestin berkata pihaknya akan memfailkan aduan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa berhubung isu itu.
“Visi mereka untuk memisahkan kawasan yang dijajah adalah satu jenayah perang mengikut undang-undang antarabangsa,” kata Erekat.
Beliau juga mengulangi gesaan Palestin kepada negara-negara lain agar memulaukan persidangan di Bahrain pada hujung bulan ini untuk membincangkan aspek ekonomi perjanjian damai yang diusahakan Rumah Putih.
Israel menjajah Tebing Barat pada Perang Enam Hari 1967 dan pembinaan penempatan haram menjadi penghalang terbesar bagi perjanjian damai dengan Palestin.
David sebelum ini berulang kali secara terbuka menyatakan sokongan terhadap pembinaan penempatan haram Yahudi.
Lebih 600,000 pendatang haram Yahudi kini tinggal di Tebing Barat dan kawasan timur Baitulmaqdis bersama tiga juta penduduk Palestin. – AFP, 9 Jun, 2019.
Komen