Eropah tidak layak kritik Iran, kata menteri luar


Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif berkata negara Eropah mempunyai tugas untuk memastikan hubungan ekonomi Iran kembali normal. – Gambar EPA, 9 Jun, 2019.

NEGARA-negara Eropah tidak layak untuk mengkritik Iran, kata Menteri Luar Mohammad Javad Zarif menjelang pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Jerman, Heiko Maas.

Diplomat tertinggi Jerman itu dijangka tiba di Tehran pada Isnin, bagi mengekang tekanan Iran terhadap Eropah untuk memegang komitmennya terhadap perjanjian nuklear 2015 yang ditinggalkan oleh Amerika Syarikat (AS).

“Negara Eropah tidak mempunyai kedudukan untuk mengkritik Iran walaupun isu itu tidak ada kaitan dengan perjanjian (nuklear),” kata Zarif.

Iran menandatangani perjanjian bersejarah itu dengan China, Rusia, Jerman, Britain, Perancis dan AS sebagai pertukaran mengurangkan sekatan ke terhadap Tehran yang menghentikan program nuklearnya.

Namun tahun lalu, Presiden AS Donald Trump meninggalkan perjanjian itu dan Washington mengenakan sekatan baharu ke atas Iran.

Menurut Zarif, dasar Eropah dan Barat hanya menyebabkan kerosakan di rantau Arab.

“Kini segelintir negara seperti Jerman telah menghentikan penjualan senjata kepada Arab Saudi kerana mengebom rakyat Yemen, tetapi beberapa negara lain tidak berbuat demikian,” katanya.

“Secara umumnya, Barat membenarkan rejim kuku besi di rantau ini melakukan jenayah mereka.”

Pada Mei, Presiden Iran Hassan Rouhani berkata Tehran tidak lagi mematuhi beberapa syarat perjanjian nuklear dan mengancam untuk bertindak lebih agresif jika pihak yang terlibat gagal menarik semula sekatan.

Zarif berkata negara Eropah mempunyai tugas untuk memastikan hubungan ekonomi Iran kembali normal.

Jumaat lalu, Iran menolak idea Perancis untuk mengadakan semula rundingan nuklear dan memberi amaran perjanjian yang sedia ada mungkin terbatal. – AFP,  9 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen