NIK Nazmi Nik Ahmad mahu orang ramai menandatangani petisyen menggesa peletakan jawatan Latheefa Koya sebagai Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu walaupun Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata keputusannya mengenai pelantikan itu adalah muktamad.
Ahli Parlimen PKR Setiawangsa itu merupakan ahli PKR ketiga selepas Ahli Parlimen Wangsa Maju Dr Tan Yee Kew dan Naib Presiden Pemuda PKR Syed Badli Syah Syed Osman meminta Latheefa meletak jawatan semalam.
“Pakatan Harapan telah beri komitmen untuk pelantikan Pesuruhjaya SPRM disahkan oleh JK Parlimen.
“Mari kita sama-sama tandatangan petisyen ini agar komitmen ini dipenuhi. Isu ini lebih besar daripada Latheefa Koya tetapi tekad reformasi yang kita janjikan,” kata bekas ketua pemuda PKR itu di Twitter.
Sehingga 9 pagi, seramai 5,400 orang telah menandatangani petisyen dalam talian menuntut Latheefa yang merupakan seorang peguam terkemuka untuk meletak jawatan sementara 10,000 individu telah menyokong petisyen lain untuknya sebagai ketua SPRM yang baharu.
Pada Jumaat, Dr Tan yang merupakan bekas bendahari parti PKR itu berkata, proses pelantikan Latheefa menentang kempen PH untuk mengurangkan kuasa perdana menteri bagi melantik orang-orang penting.
“Proses ini tidak betul. Sebagai seorang ahli politik yang bertanggungjawab, yang telah bekerja keras untuk tahun lalu untuk Malaysia baharu, saya fikir dia harus meletakkan jawatan untuk mempertahankan konsep Malaysia yang baharu,” katanya yang telah meletakkan pautan petisyen di laman Facebooknya.
Beliau juga menafikan pendiriannya didorong oleh sikap berpuak-puak dalam PKR.
“Ini tiada kena mengena dengannya. Ia lebih kepada kaitan dengan menegakkan prinsip yang kita telah berjuang bersama,” tulisnya di Facebook.
Latheefa dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu pada Selasa lalu bagi menggantikan Mohd Shukri Abdull yang menamatkan kontraknya lebih awal yang sepatutnya berakhir pada 17 Mei 2020.
Pengarah Eksekurif Lawyers for Liberty itu mengikat kontrak dua tahun dengan SPRM berkuatkuasa 1 Jun 2019.
Semasa rumah terbuka di kediaman rasmi perdana menteri di Putrajaya Rabu lalu, Dr Mahathir Mohamad memberitahu pemberita bahawa pelantikan Latheefa sebagai ketua SPRM adalah keputusannya.
“Dia sangat berterus terang. Dia mengatakan apa yang sebenarnya.
“Saya melantiknya berdasarkan wataknya yang kuat. Dia tidak takut untuk menyatakan pendiriannya,” katanya. – 9 Jun, 2019.
Komen