PIHAK berkuasa India semalam menawarkan ganjaran tunai untuk meningkatkan pencarian terdesak untuk kapal terbang tentera yang hilang hampir seminggu dan dikhuatiri telah terhempas di timur laut negara berkenaan.
Tentera Udara India dan kerajaan negeri Arunachal Pradesh mengumumkan ganjaran 550,000 rupee ($8,000) untuk mencari AN-32 yang hilang dari radar pada Isnin lepas dan membawa 13 orang penumpang.
Pesawat Soviet itu hilang di sempadan China dan pencarian udara, tinjauan satelit serta usaha mengambil isyarat dari pesawat semuanya gagal.
Angkatan Udara berkata, pihaknya akan memberi 500,000 rupee dan kerajaan negeri menawarkan 50,000 untuk “maklumat yang boleh dipercayai” yang membawa kepada penemuan pesawat berkenaan.
Ganjaran selepas kemalangan udara jarang berlaku. Ganjaran $80 juta pernah ditawarkan selepas penerbangan Malaysia Airlines hilang pada 2014 dalam penerbangan Kuala Lumpur ke Beijing yang sehingga kini masih belum dijumpai.
Tentera India telah mengerahkan sembilan helikopter, jet pejuang dan transporter untuk mencari pesawat berkenaan.
Pencarian tanah tertumpu di daerah Siang dan melibatkan polis, angkatan udara serta tentera, polis sempadan Indo-Tibet, pasukan pentadbiran awam dan beberapa penduduk setempat.
Seorang pegawai tanah memberitahu AFP bahawa pihak berkuasa mahu lebih ramai ketua kampung terlibat.
Cuaca buruk telah menjejaskan pencarian dalam beberapa hari kebelakangan ini tetapi telah bersambung semalam.
Pesawat berkenaan membawa lapan krew dan lima anggota tentera.
Jurucakap ketenteraan Wing Commander Ratnakar Singh berkata, pihaknya memerlukan sokongan keluarga dalam masa sukar ini. – AFP, 9 Jun, 2019.
Komen