Angelina Jolie bertemu presiden Colombia


Pelakon popular Hollywood yang juga wakil khas agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Angelina Jolie mahu masalah status kira-kira 20,000 kanak-kanak pendatang Venezuela diselesaikan. – Gambar EPA, 9 Jun, 2019.

PELAKON popular Hollywood yang juga wakil khas agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Angelina Jolie semalam bertemu dengan Presiden Colombia Ivan Duque bagi menyokong kira-kira 20,000 kanak-kanak pendatang Venezuela yang tidak diketahui status kewarganegaraan selepas ibu bapa mereka yang melarikan diri dari negara asal.

Dalam satu mesyuarat di bandar pelabuhran Cartagena, pelakon itu menggesa Duque untuk menyelesaikan konflik undang-undang yang dihadapi oleh kanak-kanak berkenaan sejak Colombia tidak mengiktiraf kanak-kanak yang lahir di wilayahnya sebagai warganegara.

“Presiden dan saya berbincang tentang ketidakadilan untuk 20,000 anak Venezuela,” kata Jolie.

Duque yang menyokong kempen tekanan antarabangsa terhadap Presiden Venezuela Nicolas Maduro turut didesak untuk menyelesaikan status kanak-kanak berkenaan.

Sejak Caracas dan Bogota memecah hubungan diplomatik, ibu bapa sukar untuk mendaftarkan anak-anak mereka di konsulat Venezuela.

Kebanyakan ibu bapa berada dalam keadaan tidak teratur, meninggalkan status kanak-kanak dalam keadaan tidak jelas walaupun mereka menikmati penjagaan asas.

Selepas melawat kawasan sempadan, Jolie memuji cara Colombia melayan pendatang Venezuela yang merupakan jumlah terbesar dalam sejarah Colombia.

Jolie berkata, beliau telah melawat sekolah dan hospital yang terlalu sesak tetapi dapat melihat “kemanusiaan yang menginspirasikan” masyarakat setempat.

Krisis yang berlaku di Venezuela menyebabkan rakyatnya berdepan masalah kekurangan makanan, perubatan dan bahan asas lain.

Dianggarkan kira-kira 3.3 juta rakyat Venezuela telah melarikan diri ke negara lain. Colombia sahaja menerima kira-kira 1.3 juta pelarian dari Venezuela. – AFP, 9 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen