Mimpi ngeri peniaga kecil selepas raya


Zainal Rashid Ahmad

PENIAGA kecil atau penjaja pasti meraikan hari raya tahun ini dalam mood penuh kebimbangan dan rasa gusar.

Satu kelangsungan emosi sejak empat tahun lalu apabila suasana ekonomi negara mulai suram.

Itu mood peniaga kecil secara umum. Bagi yang melabur untuk bisnes bazar Ramadan, pasti ramai yang mengigau ketika berkumandang takbir raya.

Modal tunai pasti lesap dan banyak bisnes bazar Ramadan berakhir dengan kerugian dan hutang.

Secara amnya, 70 ribu penjaja kecil di Kuala Lumpur meraikan hari raya dengan menggalas beban masa depan tidak menentu berikutan merudumnya daya beli pengguna.

Manakala lebih seribu penjaja bazar Ramadan di sekitar Kuala Lumpur tahun ini menutup buku dengan catatan kerugian besar atau untung kecil yang tidak berbaloi.

Pertama, legasi kemerosotan pendapatan nampaknya berterusan. Fenomena yang tidak berkesudahan sejak 2015. Selama tiga tahun sebelum PRU14, suasana daya beli yang sangat perlahan telah menjejaskan kuasa beli. Sekali gus menjadikan punca utama ramai peniaga gulung tikar.

“Saya meniaga nasi beriani di bazar Sungai Besi. Harga barang naik, tapi kita bertahan dengan harga RM6 sebungkus. Boleh jual 500 bungkus sehari, tapi margin untung tipis.

“Lepas tolak kos barangan dan gaji pekerja, bakinya setakat cukup bayar gaji diri sendiri. Pendapatan tauke dengan pekerja sama saja,” kata Azri Hassan.

Bazar Ramadan tahun ini ialah penamat kerjaya Azri sebagai peniaga nasi beriani.

Anak muda berusia 23 tahun yang sudah enam tahun meneruskan perniagaan keluarga terpaksa menukar haluan hidup.

“Ayah dan ibu sudah tua dan tidak larat lagi bekerja. Saya tidak dapat teruskan perniagaan keluarga kerana keadaan ekonomi sekarang teruk. Jun nanti, saya akan ke Pulapah (Pusat Latihan Polis Air Hitam) dan sertai pasukan polis,” katanya.

Sepanjang Ramadan tahun ini, keadaan bisnes peniaga kecil semakin teruk.

Sejak PH mengambil alih pentadbiran, suasana ekonomi bagi peniaga kecil terus menekan bagi tahun keempat berturut-turut.

Kedua, secara historikal pula, peniaga akan semakin pening untuk berdepan dengan realiti selepas hari raya.

Dua atau tiga bulan selepas Syawal, daya beli secara relatifnya akan terus menjunam.

Penulis menghabiskan masa setiap malam minggu sepanjang Ramadan dengan meninjau keadaan rakan-rakan penjaja di sekitar Chow Kit, Jalan Raja Hussein, Jalan Masjid India dan Jalan Raja (Dataran Merdeka).

Seorang rakan, yang membawa masuk 30 buntil guni kasut terpakai dari Kemboja tahun ini menanggung kerugian yang teruk.

Bermodalkan wang tunai RM75 ribu, dia hanya mampu mengutip RM37 ribu sepanjang Ramadan melalui hasil jualan di Jalan Chow Kit dan Pasar Bundle, Jalan Raja Bot.

Secara lumrah, baki barang yang bernilai RM35 ribu akan menjadi beban untuk dijual kerana ekonomi akan semakin perlahan selama dua ke tiga bulan mendatang

Bulan ketiga selepas raya, permintaan akan kembali bermula, tetapi pastinya sangat perlahan.

Baki 12 buntil kasut memerlukan tempat simpanan. Ini juga satu lagi beban membayar kos setor.

“Kami lelong habis-habisan sejak 28 Mei dengan sasaran menghabiskan stok yang ada. Tak untung pun tak apalah. Asal barang habis dan dapat balik modal,” kata Nordin Rahman.

Namun, tindakan lelong tidak meningkatkan hasil jualan walaupun ada sambutan.

Seminggu sebelum raya, melihatkan keadaan jualan yang suram menyebabkan Nordin panik.

Tindakan melelong terpaksa dibuat dengan sasaran menghabiskan stok.

“Modal kami sepasang RM40. Kami lelong tiga pasang RM100 pun masih tidak rancak pembeliannya. Kami yakin kalau lelong dua pasang RM50 pun, ia tidak akan menyelesaikan masalah. Isu sebenar bukan harga. Orang tidak mampu membeli sekarang,” katanya.

Dua tahun lalu, Aziz Ali yang lebih senior dalam perniagaan kasut terpakai Gred A sudah menerima pengajaran.

Kos RM12 ribu sewaan tapak di Jalan Chow Kit dan modal RM60 ribu menyediakan stok jualan, berakhir dengan tregedi yang sama dengan nasib Nordin.

Serik meniaga Bazar Ramadan

“Saya serik meniaga Bazar Ramadan sejak rugi teruk pada 2016 dan 2017. Waktu itu, dua minggu pertama puasa, jualan masih tak sampai RM12 ribu. Modal lebih RM70 ribu. Jadi, dua minggu akhir menjelang raya, kami jual lelong. Tapi, saya tetap rugi teruk,” kata Aziz.

Itu pengalaman yang menyebabkan Aziz menganggap bisnes Bazar Ramadan boleh mencerut modal kerana suasana ekonomi sudah tidak sebaik sebelum 2015.

Semua stok yang berbaki, kata Aziz, terpaksa dijual secara pukal kepada rakan-rakan peniaga.

Itu pun dengan diskaun 50% bagi memastikan barang tidak memerlukan setor untuk simpanan.

Sejak itu, Aziz tidak lagi berani melaburkan apa-apa perniagaan bermodal besar untuk bazar Ramadan.

Itu kisah peniaga kasut. Walaupun modal hangus pada bulan Ramadan, peluang masih ada untuk menghabiskan stok jualan selepas raya. Cuma, hasilnya tetap rugi teruk.

Bagi peniaga pakaian raya, kisah kerugian lebih tragik. Mereka memerlukan tempoh lebih lama untuk menghabiskan stok dan sukar mendapatkan kembali modal.

Selalunya, stok baju Melayu, kain sampin dan songkok terpaksa disimpan di dalam setor hingga Ramadan tahun berikutnya.

Tukang gunting turut kena tempias

Seorang tukang gunting di Jalan Haji Hussein, membuka kedainya pada 11 pagi.

Selama 15 jam berniaga hingga pukul 2 pagi, sambutan perniagaan tetap perlahan.

“Pada hari biasa, saya buka kedai hanya sembilan jam. Mula 2 petang dan tutup paling lewat 11.00 malam. Purata dapatlah RM100 sehari. Tolak sewa kedai, duit makan dan eletrik, adalah gaji dalam RM2 ribu sebulan,” kata Abang Mat Kelantan.

Cuma dua minggu akhir Ramadan tahun ini, suasana berniaga sangat perlahan.

Selama sembilan tahun menjadi tukang gunting, tahun ini terasa paling teruk.

“Ni dah pukul 2 pagi, masuk kepala kau, aku baru dapat pelanggan,” katanya.

Sejak empat tahun lalu, Abang Mat Kelantan mengekalkan harga RM10 satu kepala.

Tahun ke tahun, tukang gunting pun turut terkesan oleh kemuncupan ekonomi.

“Sekarang kalau pun hidup susah, takkan sampai nak gunting rambut pun orang berkira. Heran aku,” katanya sambil tersenyum pahit.

Itu kisah duka rakan-rakan peniaga kecil. Namun, ia hanya empat kisah perit dalam kehidupan 70 ribu peniaga kecil dan penjaja di Kuala Lumpur. – 9 Jun, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen