HANYA satu daripada setiap lima bayi yang ditinggalkan ibu berjaya diselamatkan melalui program pelindung bayi atau baby hatch sejak sejak program itu dimulakan10 tahun lalu.
Ketua Pegawai Operasi Orphan Care Foundation Yuzila Yusof mengakui ia jumlah yang kecil berbanding dengan jumlah purata 100 kes pembuangan bayi setiap tahun di seluruh negara.
Statistik polis pada 2017 juga menunjukkan hanya 40 sahaja bayi daripada setiap 100 kes selamat dan nasib bagi 60% selebihnya tidak diketahui.
Ramai yang gagal diselamatkan kerana ditinggalkan dalam timbunan sampah, disumbat ke dalam lubang tandas, aau dibuang ke longkang atau dibakar sehingga tidak dapat dikenali.
“Dan Unicef pula khuatir jumlah bayi tidak dijumpai di Malaysia tujuh kali lebih tinggi daripada jumlah dilaporkan,” kata Yuzila kepada The Malaysian Insight.
Tambahnya, ramai tidak tahu kewujudan baby hatch itu walau sudah 10 tahun beroperasi.
Selain itu program berkenaan tidak mendapat perhatian kerana ibu bayi terbabit bimbang ditangkap jika meletakkan bayi di baby hatch, katanya lagi dalam wawancara dengan The Malaysian Insight
“Biasanya sebab mereka takut, akan ditangkap dan akhirnya apa yang kita lihat seperti apa jadi pada hari ini ramai bayi dibuang di tong sampah, diletak di masjid.
“Tidak jadi satu kesalahan kalau letakkan bayi di baby hatch sebab ia dikira menyelamatkan bayi, tapi kalau di letak di masjid atau di mana-mana ia memang akan jadi satu kesalahan,” kata Yuzila.
Program baby hatch mula beroperasi pada 2010 bawah kendalian Orphan Care Foundation, sebuah NGO yang bermatlamat untuk memberikan keluarga angkat kepada bayi tidak diingini.
Ketika ini terdapat tiga pusat peti perlindungan bayi iaitu di Bukit Gasing di Petaling Jaya, di Johor Bahru dan Sungai Petani.

Orphan Care juga bekerjasama dengan hospital swasta KPJ sejak 2014, yang menyediakan baby hatch di beberapa buah hospitalnya.
Di Petaling Jaya, baby hatch atau peti pelindung bayi itu terletak di luar pejabat Orphan Care yang merupakan sebuah bangunan di kawasan perumahan.
Baby hatch serupa juga diletakkan di luar pejabat di Kedah dan Johor.
Peti itu dilengkapi dengan kamera litar tertutup serta pendingin hawa bertujuan memberi keselesaan dan keselamatan kepada bayi.
“Sebaik saja bayi diletakkan, lampu akan menyala dan secara automatik pintu peti akan dikunci dari luar serta-merta.
“Dan kita boleh lihat bayi diletakkan dalam peti namun kita takkan nampak wajah orang yang letak, Cuma bayi saja (kelihatan) jadi mereka tidak perlu bimbang dengan kerahsiaan,” kata Yuzila.
Katanya, Orphan Care juga meletakkan notis peringatan kepada ibu bapa atau siapa saja yang meletakkan bayi itu untuk mengisi borang di luar peti pelindung tersebut.
Katanya dokumen tersebut amat penting bagi mengetahui latar belakang agama dan keturunan bayi dalam proses pengambilan anak angkat.
“Ia amat penting sebab itu kita galakkan mereka letakkan apa-apa tanda pada bayi. Contohnya mereka letakkan patung Buddha atau salib jadi kita tahu lah agama bayi itu,” katanya.
Beliau berkata tidak ada sebarang pengenalan diletakkan bersama bayi itu maka secara automatik kanak-kanak itu diterima sebagai bayi beragama Islam.
Berdasarkan statistik yayasan itu, kurang dari 10 kes melibatkan bayi yang diterima sebagai penganut Islam secara automatik manakala 52 kes melibatkan bayi tiada kewarganegaraan
“Sebab itu dokumen sangat penting kalau kita nampak pelaku yang serah kita akan tahan, tapi bukan untuk tangkap atau menilai mereka tapi untuk minta dokumen bayi,” katanya.
Selain itu, terdapat juga kes ibu bapa yang muncul kembali untuk mengambil anak mereka selepas meletakkan bayi di dalam baby hatch, kata Yuzila.

Keluarga angkat
Beliau berkata sehingga kini sebanyak 63% bayi bawah jagaan Orphan Care berjaya mendapat keluarga angkat
“Sebab itu tempoh bayi di pusat ini dalam seminggu dua minggu, lepas itu kita terus hantar kepada keluarga angkat.
Beliau berkata yayasan menerima banyak permohonan mengambil anak angkat namun akan memastikan yang benar-benar layak mendapat hak penjagaan.
Katanya, keluarga angkat terpilih akan melalui beberapa saringan temuduga dan latar belakang rekod termasuk latihan untuk memastikan mereka benar-benar layak menjaga bayi.
“Bayi akan diberi mengikut agama keluarga asal dan yayasan serta ibu bapa harus memberitahu status anak tersebut adalah anak angkat,” katanya.
Pada masa ini, sebanyak 30 pasangan sahaja terpilih untuk mengambil anak angkat.
“Yang mohon ramai tapi yang lepas syarat 30 orang ini, maksudnya bila ada bayi akan diberi kepada mereka,” katanya.
Jelasnya lagi, yayasan tidak mengenakan bayaran lain untuk pengambilan anak angkat dari baby hatch selain kos pentadbiran sebanyak RM1,000.
“Namun keadaan itu berbeza kalau kanak-kanak itu kita ambil dari rumah anak yatim atau dari rumah perlindungan remaja mengandung,” katanya.
Yusila berkata selain program baby hatch, Orphan Care turut terlibat dalam memberi perlindungan remaja mengandung dan anak angkat di rumah anak yatim.
Pendidikan seks
Kata Yuzila golongan remaja didapati paling ramai meletakkan bayi di pusat itu, yang terdiri dari pelbagai latar belakang kaum serta warganegara.
Beliau turut menceritakan kes seorang pelajar kolej melahirkan bayi di dalam kereta dalam perjalanan menghantar bayinya di peti perlindungan bayi.
“Pelajar perempuan itu cuma ambil (cuti) sehari. Selepas melahirkan esoknya terus masuk kolej semula,” katanya yan menambah yayasan itu turut memberi perlindungan kepada wanita hamil.
Kaji Selidik Global Kesihatan Pelajar Sekolah serta Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara mendapati semakin ramai remaja melakukan seks.
Ia mendapati aktiviti seks remaja berusia 13 hingga 17 tahun meningkat daripada 0.9% pada 1994 kepada 8.3 peratus pada 2012.

Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia pula menunjukkan Malaysia di tangga keempat daripada 10 negara dari senarai jumlah kehamilan remaja 15 hingga 19 tahun dari tempoh 2005 hingga 2011.
Stastik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia pula mencatatkan 81,000 anak luar nikah didaftarkan sehingga 2011.
Oleh itu, data tersebut menunjukkan sudah tiba masanya ibu bapa lebih terbuka menyokong pendidikan seks diajar sejak awal persekolahan, kata Yuzila.
Katanya kebanyakan kes mengandung anak luar nikah terjadi kerana remaja itu sendiri tidak arif dan tidak mempunyai ilmu mengenai pendidikan seks.
Namun beliau menyedari pendidikan seks masih dianggap tabu oleh masyarakat di Malaysia memandangkan ajaran agama mengharamkan seks sebelum nikah.
Yuzila berkata persepsi sama turut dihadapi yayasan itu di peringkat awal pelaksanaan baby hatch kerana didakwa menggalakkan lagi perbuatan zina.
“Bila kita letak baby hatch tapi orang cakap kita kita nak galakkan zina. Tapi kita ini proses paling akhir sekali.
“Kita bukan hendak galakkan (seks luar nikah) tetapi hendak selamatkan (bayi). Jadi isu pendidikan seks ini kena dari awal dan penglibatan ibu bapa juga.
“Memanglah agama penting, tapi ada kes juga melibatkan (ibu memakai) tudung labuh. Maksudnya remaja itu kurang pengetahuan tidak tahu apa yang berlaku dan akibatnya.
Yuzila juggga berkata, NGO ini merancang agar program itu turut beroperasi di hospital kerajaan untuk membendung pembuangan bayi.
“Hospital kerajaan ini lebih banyak ada di kawasan pedalaman, jadi ia memang kawasan sasaran banyak kes pembuangan bayi juga berlaku di pedalaman,” katanya. – 9 Jun, 2019.
Komen