SEMPORNA yang terletak di negeri Sabah sering dilabel sebagai destinasi yang berpatutan berbanding Maldives, namun spekulasi kejadian penculikan pelancong beberapa tahun lalu memberi kesan negatif terhadap destinasi yang diberi julukan syurga penyelam.
Amaran melakukan perjalanan ke Semporna oleh negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat kepada warga negara mereka juga tidak membantu reputasi Semporna.
Walau bagaimanapun, dengan aspek keselamatan yang lebih baik, industri pelancongan Semporna kini kembali pulih. Banyak pelancong - yang sebahagian besarnya dari China - nampaknya tidak lagi bimbang dengan isu penculikan pelancong dan kini sering memenuhi unit-unit penginapan di sana. Perjalanan percutian ke Semporna kini sukar kerana rumah penginapan atau pun hotel sering penuh terutamanya ketika musim puncak percutian.
Pengarah Urusan Singamata Adventures & Reef Resort, Tang Woo Keong berkata industri pelancongan tempatan kini berkembang pesat, dan hotel atau pusat peranginan di sana semakin berkembang dimajukan demi memenuhi permintaan.
Tang berkata tempat penginapan penuh ketika cuti panjang bermula di China.
“Pelancongan pantai Semporna semakin meningkat, dan tidak ada resort atau hotel yang cukup di sini. Jika anda bercuti di Semporna, anda akan melihat bahawa resort dan hotel terus pesat dimajukan.
“Sangat memalukan untuk diketahui bahawa hanya pelancong dari China yang nampaknya tertarik dengan Semporna manakala rakyat Malaysia masih dihantui peristiwa penculikan.
“Kami sebelum ini memberikan kupon diskaun tetapi pelancong tempatan masih bimbang tentang keselamatan dan mereka tidak menggunakannya,” katanya lagi.
Jabatan pelancongan, seni dan alam sekitar Sabah mengumumkan pada bulan Februari bahawa industri pelancongan negeri telah memecahkan rekod, apabila mencatat 3.8 juta ketibaan pelancong sekaligus menjana pendapatan sebanyak RM8.3 bilion.
Jumlah pelancong asing yang melawat negeri juga meningkat sebanyak 10.2%, manakala pelancong tempatan meningkat sebanyak 2.8%.
Konsul China di Kota Kinabalu Liang Caide menganggarkan bahawa pelancong China yang melawat Sabah akan meningkat sebanyak 20% tahun ini, menggambarkan Sabah kini menjadi pilihan utama destinasi pelancongan bagi pelancong China.
Ramai peminat aktiviti menyelam dari seluruh dunia datang ke Sabah kerana kawasan aktiviti menyelam di pantai itu sangat indah, ia termasuk “segitiga emas” Sipadan, Kapalai, Mabul, yang disukai penyelam tempatan dan antarabangsa untuk memenuhi masa lapang di samping mendapatkan lesen menyelam mereka.
Kira-kira 10 tahun yang lalu, orang barat yang melawat Sipadan untuk aktiviti menyelam telah menarik perhatian sindiket penculikan. Kini terdapat lebih banyak pelancong timur di lokasi itu, sindiket-sindiket itu telah mengalih perhatian mereka.
Tang berkata, pelancong wanita diculik pada tahun 2014, tetapi insiden itu tidak beredar dalam kalangan pelancong China, dan Semporna kini bergantung kepada mereka untuk tujuan promosi.
“Tahun 2013 adalah tahun penculikan paling teruk di Sabah, kemudian terdapat tragedi Malaysia Airlines pada 2014, semua ini menjejaskan pelancongan.
“Bagaimanapun, cerita-cerita mengenai insiden tersebut tidak tersebar di China, sementara pelancong pula mempromosikan Sabah menerusi media sosial mereka seperti Weibo.
“Dari sudut geografi ia sangat ideal, ia hanya mengambil kira-kira tiga hingga empat jam penerbangan dari Guangzhou atau Hong Kong ke Kuala Lumpur. Jadi bulan Julai dan Ogos adalah musim puncak untuk Tawau, dengan hampir setiap penerbangan ke Sabah dipenuhi dengan pelancong dari China.
“Dari 2014 hingga 2016, apabila berita mengenai penculikan semakin kurang, pelancong mula datang kembali,” katanya.
Tang berkata 2017 dan 2018 merupakan tahun rekod pelancongan Sabah dan penginapan di Sabah dipenuhi dengan pelancong China.
“Ramai yang tidak menyedari keadaan keselamatan di Semporna kini stabil, sebelum ini, mereka yang berada di tempat peranginan harus memakai jaket peluru dan sentiasa dijaga anggota tentera bersenjata. Tetapi sejak tahun ini polis marin ditempatkan di pusat peranginan dan peronda mereka sentiasa memantau bot-bot yang diparkir,” katanya.
Tang mengakui bahawa suasana pernah menjadi tegang ketika para tentera bersenjata ditempatkan di sana kerana para pelancong merasa tidak aman.
Disebabkan tindak balas daripada pemain pelancongan tempatan, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) kemudian bersetuju untuk menempatkan beberapa pegawainya di pusat peranginan apabila tahap ancaman keselamatan tinggi.
“Kerajaan telah bekerja keras untuk meningkatkan keselamatan di pantai pada tahun-tahun kebelakangan ini, meraka turut memanjangkan perintah berkurung dan menyekat aktiviti waktu malam di laut, dan memasang kemudahan radar untuk memantau kawasan pesisir.
“Pengendali resort juga turut main peranan, mereka tingkatkan kualiti keselamatan di kemudahan mereka termasuk memasang kamera CCTV dan sistem penggera, dan bekerjasama rapat dengan pasukan keselamatan.
“Laluan pantai Sabah sangat panjang, tidak mudah untuk mengekalkan keselamatannya. Apabila perintah berkuat kuasa berlaku, hanya bot nelayan dibenarkan beroperasi pada waktu malam, dan mana-mana kapal penumpang harus melaporkan diri setiap kali ia keluar ke laut.
“Pengendali pantai berasa selamat di sini, dan pelancong juga tidak rasa terancam,” katanya.
Tang juga berkata Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal, yang juga Ahli Parlimen Semporna, telah memberi perhatian kepada industri pelancongan di sana.
“Penerbangan secara pukal dari China telah meningkat baru-baru ini, sebelum ini ramai pelancong dari Shanghai, Guangzhou dan Beijing, kini kami juga mempunyai pelancong dari Changsha dan Hebei,” katanya.
Satu lagi tempat di mana penculikan telah berlaku ialah Mabul Water Villa Resort, di mana pengarah urusannya Robert Lo berkata pasukan keselamatan telah memulihkan keyakinan terhadap keadaan keselamatan di kawasan itu.
Lo berkata, pasukan keselamatan menjaga keselamatan pada waktu malam dan siang di samping memantau secara dekat apa-apa aktiviti di laut untuk memastikan keselamatan terjamin.
Beliau berkata gandingan bersama agensi keselamatan Esscom bukan sahaja menghalang aktiviti penculikan, tetapi ia juga turut meningkatkan keyakinan pelancong. – 9 Jun, 2019.
Komen