Pembersihan dimulakan selepas ribut Miguel ragut tiga nyawa


Tiga penyelamat dari perkhidmatan penyelamat laut Perancis meninggal dunia pada hari Jumaat ketika kapal mereka terbalik di tengah-tengah laut yang bergelora ketika Ribut Miguel melanda pantai Atlantik. – Gambar AFP, 8 Jun, 2019.

PERANCIS memulakan usaha pembersihan pada hari Sabtu selepas ribut dahsyat melanda negara itu mengakibatkan tiga kematian direkodkan sementara ribuan rumah kini tidak mempunyai bekalan elektrik.

Tiga penyelamat dari perkhidmatan penyelamat laut Perancis meninggal dunia pada hari Jumaat ketika kapal mereka terbalik di tengah-tengah laut yang bergelora ketika Ribut Miguel melanda pantai Atlantik.

“Lewat pagi ini, bot dari SNSM karam sejauh 800 meter dari pantai Les Sables d’Olonne yang sedang membawa tujuh orang di atas kapal,” kata pejabat pendakwaraya tempatan dalam satu kenyataan.

Tiga daripada mereka mati manakala empat yang lain berjaya berenang ke kawasan pantai, kata kenyataan itu.

“Kematian yang tragis ini membawa kesedihan yang mendalam dalam seluruh jiwa perkhidmatan penyelamat laut,” kata ketua SNSM, Xavier de la Gorce.

Pasukan dari National Society of Sea Rescue (SNSM) telah cuba untuk membantu bot nelayan yang bergelut dalam ribut gergasi yang berpunca oleh angin ribut Miguel yang mempunyai kelajuan 120 kilometer sejam (75 mph).

Pegawai maritim berkata, anak kapal itu menggunakan salah satu kapal  yang direka khas untuk tidak karam dan secara automatik terapung semula jika terbalik.

Sementara itu, syarikat elektrik kebangsaan Enedis berkata 28,000 rumah juga kehilangan bekalan elektrik pada hari Sabtu, dengan Normandy dan bahagian utara Acquitaine menjadi kawasan paling teruk terjejas.

“Lebih 1,000 anggota telah digerakkan di kawasan yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu di Paris, seorang lelaki cedera parah selepas pokok yang jatuh mematahkan tiang lampu jalan yang menghempapnya.

Pegawai penyelamat berkata lelaki itu kini masih dalam keadaan kritikal. – AFP, 8 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen