MOHD Shukri Abdull berkata, beliau telah mengajukan dua nama kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menggantikannya di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi sepucuk surat bertarikh 6 Mac lalu.
“Saya ada mencadangkan nama pengganti iaitu dua pegawai kanan SPRM dalam satu surat bertarikh 6 Mac kepada Dr Mahathir.
“Saya kata dalam surat itu kenapa saya cadang orang dalam kerana mereka telah faham tugas-tugas SPRM, jadi mudah untuk mereka lanjutkan visi dan misi. Itu yang saya katakan di situ (surat),” katanya.
Bekas ketua pesuruhjaya agensi anti rasuah itu juga menjelaskan yang beliau tidak mengetahui pelantikan Latheefa Koya sebagai penggantinya.
“Saya tidak tahu sehingga 4 Jun dan saya juga kemukakan dua nama bagi menggantikan saya, namun terlambat kerana keputusan sudah dibuat,” katanya lagi.
Bagaimanapun, ketika ditanya identiti dua pegawai terbabit, Shukri enggan mendedahkan nama mereka.
Katanya, beliau turut membawa bekas ketua SPRM sebelumnya, Abu Kassim Mohamed, yang kini mengetuai Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) bertemu dengan Dr Mahathir pada Mac untuk menyerahkan surat itu.
Menurut Shukri, Dr Mahathir tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap dua nama yang diberikan.
“Tujuan saya bawa Abu Kasim adalah untuk yakinkan Dr Mahathir supaya bersetuju dengan permohonan saya. Beliau tidak beri jawapan yes or no.”
Shukri dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM pada 18 Mei tahun lalu.
Beliau pernah berkhidmat dengan suruhanjaya berkenaan selama 32 tahun sebelum memilih untuk bersara awal pada 31 Julai, 2016 sebagai timbalan ketua pesuruhjaya (operasi).
Beliau pernah menyuarakan ancaman yang dihadapi dalam siasatan SPRM terhadap 1MDB pada 2015 selepas tindakan keras oleh perdana menteri ketika itu, Najib Razak ke atas SPRM dan institusi lain.
SPRM melengkapkan siasatannya ke atas 1MDB pada Julai lalu dan Najib didakwa pada bulan sama atas tuduhan penyelewengan RM442 juta dana SRC International.
Perbicaraan masih dijalankan.
Latheefa dinamakan sebagai ketua pesuruhjaya SPRM baharu pada Selasa lepas bagi menggantikan Shukri yang berundur sebelum kontraknya tamat pada 17 Mei, 2020.
Bekas pengarah eksekutif Lawyer for Liberty itu dilantik secara kontrak selama dua tahun berkuatkuasa 1 Jun, 2019. – 8 Jun, 2019
Komen