Presiden Sri Lanka mahu halang siasatan serangan Easter


Maithripala Sirisena didakwa gagal bertindak walaupun menerima maklumat risikan lengkap dari India sehingga menyebabkan serangan Easter 21 April yang membunuh lebih 200 orang berlaku. – Gambar EPA, 8 Jun, 2019.

PRESIDEN Sri Lanka memberitahu Kabinetnya yang beliau tidak akan memberikan kerjasama ke atas siasatan Parlimen berkaitan kegagalan keselamatan sehingga menyebabkan serangan bunuh diri Hari Easter, kata sumber hari ini.

Maithripala Sirisena memanggil mesyuarat tergempar Kabinetnya pada malam Jumaat untuk menentang siasatan Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) terhadap serangan 21 April yang membunuh 258 orang dan mencederakan hampir 500 orang itu.

Sumber kementerian memberitahu AFP yang Sirisena enggan membenarkan anggota polis, tentera atau perisikan dipanggil memberi keterangan di hadapan jawatankuasa.

“Mesyuarat Kabinet berakhir tanpa keputusan,” kata sumber yang bercakap atas dasar kerahsiaan.

“Kerajaan juga tidak bersetuju untuk menangguhkan PSC.”

Pejabat Sirisena tidak mengeluarkan kenyataan tentang hasil mesyuarat itu, tetapi presiden memberitahu pegawai polis kanan semalam yang beliau tidak akan membenarkan pegawai memberi keterangan kepada PSC.

Minggu lepas, Ketua Perisikan Sisira Mendis memberitahu jawatankuasa yang presiden gagal mengadakan mesyuarat semakan keselamatan mingguan untuk menilai potensi serangan radikal Islam.

Tetapi, siaran langsung keterangan itu dihentikan tiba-tiba atas arahan Sirisena, kata sumber pegawai.

Setiausaha pertahanan dan ketua polis mencadangkan yang presiden yang juga menteri pertahanan, undang-undang dan keamanan tidak mengikut protokol dalam menguruskan laporan risikan, termasuklah amaran awal tentang pengeboman 21 April.

Sirisena berulang kali menafikan beliau sedar kemungkinan serangan berlaku.

Sebuah kumpulan pengganas tempatan dan IS mengaku bertanggungjawab ke atas serangan di tiga gereja dan tiga hotel mewah itu.

Minggu lepas, Sirisena dilapor berkata yang beliau berjumpa dengan ketua polis negara dan pegawai tinggi 13 hari sebelum Hari Easter tetapi tidak ada pegawai yang membangkitkan amaran diberikan India.

Sumber rasmi menyebut New Delhi sudah menghantar maklumt terperinci serangan hasil maklumat seorang pengganas yang ditahan di India.

Kerajaan mengakui kegagalan risikan menyebabkan serangan itu, yang juga membunuh 45 warga asing.

Sirisena sudah menggantung khidmat ketua polis Pujith Jayasundara dan menyingkirkan pegawai kanan pertahanan Hemasiri Fernando.

Sri Lanka masih dalam darurat kerana serangan itu. – AFP, 8 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen