Sri Lanka perkenalkan undang-undang baharu cegah berita palsu


Pengganas IS mengaku bertanggungjawab melakukan serangan di tiga gereja dan tiga hotel di Sri Lanka pada 21 April. – Gambar fail AFP, 8 Jun, 2019.

KERAJAAN Sri Lanka akan memperkenalkan hukuman lima tahun bagi mereka yang didapati menyebarkan berita palsu dan ucapan kebencian di media sosial, kata pihak berkuasa.
Ia susulan maklumat tidak benar di online yang semakin menjadi-jadi selepas serangan pada sambutan Easter.

Menteri Kabinet meluluskan cadangan dibawa oleh pemangku menteri keadilan, yang turut menyaksikan pesalah boleh didenda sehingga AS$5,715, kata kerajaan dalam satu kenyataan.

Setakat ini kerajaan belum mengeluarkan definisi dua kesalahan itu, tetapi berkata kanun keseksaan akan dipinda untuk memperkenalkan hukuman baharu.

Langkah itu dibuat sebagai mengulangi dakwaan kerajaan bahawa platform seperti Facebook, Twitter dan Whatsapp digunakan untuk menyebar kebencian secara online, di negara itu di mana perpecahan kaum masih berlaku walaupun selepas berdekad perang berakhir.

Sri Lanka menutup akses Internet pada Mac tahun lalu bagi mengelak keganasan berleluasa apabila kumpulan perusuh anti Islam mengganas di wilayah tengah negara itu, membunuh tiga orang dan memusnahkan ratusan rumah, kedah, kenderaan dan masjid.

Ketika keganasan itu, perusuh menggunakan media sosial untuk menganjurkan serangan terhadap kumpulan minoriti.

Jaringan sosial Sri Lanka juga semakin berleluasa menyebarkan berita palsu selepas serangan bom bunuh diri pada sambutan Easter yang menyebabkan 258 orang maut sementara hampir 500 yang lain cedera.

Pengharaman sembilan hari dikenakan termasuk Facebook, Twitter, YouTube, Instagram dan WhatsApp diperkenalkan selepas pengganas IS mengaku bertanggungjawab melakukan serangan di tiga gereja dan tiga hotel pada 21 April.

Bulan lalu Parlimen Singapura meluluskan undang-undang untuk membanteras berita palsu yang akan membenarkan pihak berkuasa mengarahkan kandungan media sosial diturunkan dan mereka yang disabitkan bersalah boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun. – AFP, 8 Jun, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen