Ketua SPRM perlu bebas politik, kata pengerusi jawatankuasa Parlimen


Chan Kok Leong

Ketua SPRM sewajarnya bukan ahli politik atau pun bekas ahli politik kerana alamiah agensi itu yang perlu menyiasat sebarang laporan berkaitan semua parti politik, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parlimen Willian Leong. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 Jun, 2019.

KETUA pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu perlulah mereka yang bukan daripada bidang politik kerana ia boleh menjejaskan agensi itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parlimen Willian Leong.

“Keberkecualian ketua SPRM sangat penting. Kerana alamiahnya, agensi anti korupsi akan menyiasat laporan berkaitan ahli politik kedua-dua pihak.

“Maka kerana itu lebih elok untuk bukan seorang ahli politik atau bekas ahli politik menerajui agensi itu. Ini bukan soal individu tertentu, tetapi ia akan memudahkan situasi yang sukar,” kata Leong yang mempengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam.

Ahli Parlimen Selayang dan peguam itu berkata pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Kota berbeza dengan pelantikan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof.

Perbezaan paling ketara adalah Ariff dipilih. Walaupun beliau adalah ahli Amanah, tetapi selepas dipilih jadi speaker, beliau meletak semua jawatan dalam parti itu.

Tambah Leong lagi, penglibatan seseorang dalam parti, jangka masa keahlian dan sama ada mereka adalah ahli aktif adalah faktor utama dalam pelantikan jawatan utama sektor awam.  

Lantikan politik untuk jawatan utama perlu dielakkan, tetapi pengecualian boleh diberikan kepada situasi tertentu, katanya.

Pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM mengundang kritikan banyak pihak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2019.

“Apa yang tidak wujud di sini (pelantikan Latheefa) adalah jawatankuasa tidak diberikan peluang untuk membuat penelitian, maka jawapan kepada persoalan sama ada Latheefa boleh diberikan pengecualian untuk syarat umum tersebut tidak terjawab.”

“Tetapi peluang itu hilang kerana ia tidak dirujuk kepada jawatankuasa pilihan,” katanya dalam satu wawancara di pejabatnya di Petaling Jaya.

Kesahihan pelantikan jawatan sektor awam

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam adalah yang pertama seumpamanya pernah ditubuhkan di Parlimen Malaysia.

Ia dibentuk dalam sebahagian usaha kerajaan Pakatan Harapan untuk pembaharuan dan ketelusan pentadbiran yang lebih baik.

Walaupun hasratnya baik, jawatankuasa tersebut masih tidak ada kuasa perundangan untuk menyaring pelantikan, yang pada masa sekarang masih ditentukan kerajaan dan dilantik dengan perkenan Yang Di Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri.

Tidak seperti Amerika Syarikat, pelantikan jawatan utama sektor awam negara ini tidak perlu melalui Parlimen, kata Leong.

“Cabaran kita adalah perlembagaan kita tidak seperti perlembagaan Amerika Syarikat yang menghendaki cadangan presiden disokong Kongres. Ia amalan yang sangat bagus tetapi kita tidak ada peruntukan dalam perlembagaan.”

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam tidak ada peruntukan undang-undang untuk menjalankan tugasnya dengan berkesan, kata Pengerusi William Leong. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 Jun, 2019.

Leong berkata jawatankuasa pilihan jawatan utama Malaysia tidak boleh disamakan dengan model di AS atau pun British.

“Dalam model UK, jawatankuasa pilihan meneliti calon dan menyediakan laporan kepada kerajaan. Tetapi, kata putus masih dibuat kerajaan. Jawatankuasa pilihan bukanlah bermakna mengambi alih kuasa Eksekutif tetapi bertindak sebagai pengawasan.

 “Proses tambahan ini adalah untuk menambah baik kesahihan proses bagi memastikan seseorang dilantik kerana merit bukan penaungan politik,” kata Leong lagi.

Selain kekangan perlembagaan, Leong menambah yang badan-badan tertentu seperti SPRM, Suhakam atau Suruhanjaya Pelantikan Hakim mempunyai akta khusus masing-masing.

 “Terdapat akta khusus seperti untuk Suruhanjaya Pelantikan Hakim, Akta Polis dan sebagainya di mana pelantikan dibuat Agong atas cadangan kerajaan.

“Apa yang kita cuba buat adalah sesuatu yang tidak ada peruntukan undang-undang ketika ini. Seperti di United Kingdom, Australia, Kanada dan sebagainya, kita mahukan jawatankuasa pilihan bagi memastikan ketelusan dalam pelantikan penjawat awam.

“Tetapi untuk kita buat begitu, kita perlu ubah undang-undang. Buat masa sekarang, pelantikan ini tidak perlu melalui jawatankuasa. Sebelum pindaan dibuat, perlu ada kerjasama antara Eksekutif dan Parlimen untuk menggerakkannya.

“Jika tidak, kita perlu tunggu pindaan perlembagaan dan ia akan ambil masa,” kata Leong lagi. – 8 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen