Wanita dakwa dirogol Neymar beri keterangan


Wanita Brazil yang mendakwa dirogol pemain bola sepak dunia Neymar, menutup muka dengan jaket hitam ketika tiba di balai polis untuk memberi keterangan. – Gambar EPA, 8 Jun, 2019.

SEORANG wanita Brazil yang mendakwa dirogol pemain bola sepak dunia Neymar, memberi keterangannya kepada polis semalam, dalam siasatan tuduhan serangan seksual itu.

Najila Trindade Mendes de Souza mendakwa Neymar merogolnya di sebuah hotel di Paris pada Mei, di mana Neymar menafikannya.

Trindade tiba di balai polis Sao Paulo tengah hari semalam, menutup mukanya dengan jaket hitam ketika diiringi pegawai polis untuk merentasi sekumpulan besar media di luar balai.

Beliau keluar selepas enam jam memberi keterangan, di mana laman web UOL berkata ia dirakamkan dalam sebuah bilik bersama tiga pegawai polis wanita.

Trindade dibawa keluar dari balai polis bersama peguamnya, dan tidak bercakap kepada wartawan.

Kemunculan dramatiknya itu sehari selepas Neymar ke balai polis Rio de Janeiro, menggunakan kerusi roda selepas cedera di buku lalinya dalam perlawanan menentang Qatar pada Rabu.

Beliau memberikan keterangan dalam siasatan kes membabitkan penyiaran mesej WhatsApp dan gambar Trindade di media sosial tanpa keizinan wanita itu.

Neymar memberitahu polis seorang pembantu dan juruteknik bertanggungjawab berkongsi mesej dan gambar itu, lapor TV Globo. – AFP, 8 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen