SEORANG lelaki berusia 33 tahun maut selepas bergaduh berebut air di selatan India, kata polis semalam, ketika negara itu berdepan cuaca panas melampau dan ribut yang menyebabkan 24 terbunuh di utara.
Pergaduhan itu tercetus pada Rabu apabila seorang lelaki 48 tahun dan tiga anak lelakinya didakwa mencuri sejumlah besar air daripada tangki awam berhampiran Thanjavur di Tamil Nadu.
Seorang lelaki tempatan, D. Anand Babu berdepan dengan mereka dan keganasan berlaku, kata polis.
Babu dibawa ke hospital dan meninggal dunia keesokan harinya. Bapanya turut tercedera dalam insiden itu.
Kebanyakan kawasan di India mengalami gelombang haba sejak beberapa hari lalu dengan suhu mencecah 50 darjah Celsius di utara seperti Rajasthan dan Uttar Pradesh.
Kawasan luas turut dilanda kemarau, menyebabkan jutaan rakyat bergantung pada trak air dan keadaan itu menyukarkan lagi petani di beberapa negeri termasuk Tamil Nadu, Maharashtra dan Karnataka.
Masalah itu tercetus akibat hujan monsun belum tiba, walaupun dijangkakan hujan akan turun di barat daya India dalam tempoh 24 jam, menurut ramalan cuaca. – AFP, 8 Jun, 2019.
Komen